SHAH ALAM - ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz melawat tiga rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan di Christchurch, New Zealand.
Menurutnya, beliau sempat berbual dengan Mohd Tarmizi Shuib, Nazril Hisham Omar dan isteri serta perawat Rahimi Ahmad bagi mendapatkan maklumat tentang keadaannya.
"Alhamdulillah, jam 10.40 pagi waktu tempatan atau 5.40 pagi waktu Malaysia kami telah sampai ke Christchurch disambut oleh wakil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Muhammad Azhari Azmi Azhari dan Pegawai Atase Kementerian Pertahanan, Ridzuan dan Persatuan Komuniti Rakyat Malaysia.
"Kami terus ke hospital bagi melihat serta dapat maklumat terus daripada isteri serta perawat Rahimi dan juga berbual dengan Tarmizi dan Nasril yang turut cedera," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jumaat lalu, pengganas, Brenton Tarrant menyerang masjid di Christchurch dengan melepaskan tembakan menyasarkan orang Islam yang mahu menunaikan solat Jumaat.
Kejadian tersebut menyebabkan 50 orang terkorban dan puluhan yang lain cedera.