Majlis Perwakilan Penduduk jadi penghubung MBSJ dengan komuniti

Iklan
Sze Han (lima dari kanan) bergambar bersama pemenang di Majlis Anugerah MPP MBSJ 2021 yang diadakan di sebuah hotel di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Jumaat.

SUBANG JAYA - Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang ditubuhkan sejak tahun 2001 memainkan peranan penting sebagai penghubung antara Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan komuniti setempat.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, sebanyak 24 Zon MPP dilantik bagi mewakili hampir 1. 6 juta penduduk di bawah pentadbiran MBSJ meliputi Subang Jaya, Kinrara, Seri Serdang dan Seri Kembangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penubuhan MPP dapat meningkatkan penyertaan masyarakat dalam urus tadbir PBT dalam usaha menangani isu-isu kesejahteraan bandar seperti perancangan, pengurusan landskap, pencemaran alam sekitar, jenayah, penempatan setinggan, gejala sosial dan vandalisme.

"Melalui platform ini, komuniti berpeluang melibatkan diri dalam mengemukakan pandangan dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat untuk diambil tindakan MBSJ.

Iklan

"Inisiatif yang diketuai oleh Ahli Majlis setiap zon ini turut ditubuhkan untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk serta menggalakkan penyertaan komuniti dalam penganjuran program-program dan pembangunan di kawasan kediaman dalam usaha meningkatkan kemampanan kejiranan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, MBSJ berbesar hati memberikan pengiktirafan Anugerah MPP MBSJ sebagai sebagai tanda penghargaan serta galakkan MBSJ di atas usaha yang dijalankan oleh MPP.

Iklan

"Antara anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Program Kemasyarakatan MPP MBSJ Terbaik 2021, Anugerah Pengurusan Projek Inden MPP MBSJ Terbaik 2021, Anugerah Kebun Komuniti MPP MBSJ Terbaik 2021 dan Anugerah Pengurusan Pentadbiran MPP MBSJ Terbaik 2021.

"MBSJ merakamkan ucapan tahniah kepada MPP yang berjaya dan semoga momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha bersama menyalurkan perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada penduduk," katanya.

Majlis Anugerah MPP MBSJ 2021 telah diadakan di sebuah hotel di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Jumaat yang disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han.