PETALING JAYA - Pelaksanaan sistem bantuan tanpa tunai elaun orang kurang upaya (OKU) yang dikenali sebagai JKMpay adalah bertujuan mengawal perbelanjaan penerima agar hanya membeli barangan keperluan harian sahaja dan bukannya arak atau rokok.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menegaskan, inisiatif tersebut dilaksanakan selepas kajian kebolehlaksanaan Projek Rintis Cashless dijalankan pada 14 Jun hingga 10 Julai 2021 melibatkan 1,066 penerima.
"Hasil daripada kajian itu menunjukkan majoriti peserta memberi sokongan kepada pelaksanaannya dan memudahkan mereka untuk membuat kawalan perbelanjaan untuk menampung keperluan mereka.
"JKMpay dilaksanakan tidak lain membantu mereka untuk mengawal perbelanjaan apa yang penting sekurang-kurangnya apa yang kita benarkan iaitu membeli barang keperluan, makanan, ubat-ubatan dan lampin pakai buang, semua boleh beli kecuali arak dan rokok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Menyantuni Pusat Jagaan OKU Sempena Tahun Baru Cina di Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Chen Ai OKU di sini pada Ahad.
Turut hadiri Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif, Azmir Kassim dan Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff.
Antara bantuan yang disampaikan berupa wang berjumlah RM100 seorang dan barangan keperluan selain bantuan kepada pusat jagaan tersebut.
Dalam pada itu, Rina berkata, penerima bantuan juga menerima sepenuhnya 100 peratus bantuan yang melibatkan 50 peratus secara tunai dan 50 peratus lagi secara ‘cashless’.
"Tiada pemotongan langsung, kalau dia dapat RM450 dia dapat sama macam itu dan tiada caj dikenakan.
"Ini juga hanya projek rintis dan kita bermula Februari 2021 dan selepas enam bulan kita akan adakan kajian.
"Kita masih tidak buka kepada semua dan ini hanya kepada penerima baharu dan hanya melibatkan beberapa daerah sahaja.
"Bulan Februari ini cukup setahun, maka kajian akan dibuat sekali lagi untuk memastikan penambahbaikan yang kita boleh lakukan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan projek itu masih dalam projek rintis yang masih memerlukan maklumat, data, pandangan dan input daripada semua pihak sepanjang pelaksanaan tersebut.
Tambah Rina, JKMPay juga bukan hanya tertakluk kepada OKU sahaja tetapi juga kepada semua penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti warga emas dan kanak-kanak.