SHAH ALAM - Resolusi tujuh perkara yang dibincangkan ketika Muzakarah Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini adalah jelas mahu mengukuhkan perpaduan ummah.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, selain itu, resolusi berkenaan juga memberi hala tuju jelas untuk memperkukuh kestabilan politik di dalam negara.
Menurut beliau, dalam resolusi tersebut, kedua-dua parti sepakat memberi komitmen secara bersama kepada perjuangan menegakkan integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.
"Kita turut melahirkan rasa kesal dengan kerakusan kluster mahkamah dalam UMNO yang secara aktif menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik.
"Saya perlu tegaskan bahawa Bersatu sentiasa mahukan perpaduan. Kita bersetuju menerima jemputan daripada Presiden UMNO dan Presiden Pas untuk menyertai Muafakat Nasional kerana kita mahu kesatuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, perkara itu sukar menjadi kenyataan kerana yang memerangi kesatuan itu ialah kluster mahkamah dalam UMNO.
"Mereka yang menghasut UMNO untuk menutup pintu kepada perpaduan dan sehingga hari ini mereka seolah-olah menunggang UMNO untuk menyelamatkan diri sendiri. Padahal dalam UMNO ramai yang ikhlas mahukan perpaduan dan kesatuan,” katanya.
Menurutnya, para penyokong kluster mahkamah secara berjemaah mengambil tindakan memaksa Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai Perdan Menteri dan bersekongkol menjatuhkan Datuk Seri Faizal Azumu sebagai Menteri Besar di Perak selain menolak kesatuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
"Penyokong kluster mahkamah juga dengan licik merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam kerakusan memburu kuasa di Johor juga.
"Jadi, kalau ada yang berkongsi impian kita mahu melihat kestabilan dan kesatuan politik, sila tanya dengan UMNO kenapa mereka benarkan kluster mahkamah menguasai parti mereka sehingga berlaku pergolakan berterusan politik negara,” ujarnya.
Wan Saiful menambah, Bersatu bersusah payah membina kesatuan supaya negara ini stabil.
"UMNO mesti jawab kenapa mereka begitu rajin meruntuhkan kesatuan yang telah kita bina dan kenapa UMNO begitu tamak mahu membolot kuasa,” tegasnya.
Beliau turut mempersoal adakah kluster mahkamah mempunyai kuasa yang begitu besar dalam UMNO menjadikan parti itu sudah lari daripada matlamat dan tidak peduli lagi dengan kestabilan politik Melayu.