'Khabar angin semata-mata'

Iklan
Muhammad Sanusi dan Nor Sabrina menepis dakwaan kononnya empat ADUN akan tarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor menafikan dakwaan akan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah.

Nor Sabrina berkata, beliau hanya mengetahui cerita bahawa ADUN UMNO akan keluar daripada kerajaan PN di Kedah selepas menerima mesej daripada kenalannya yang bertanya mengenai dakwaan tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau menegaskan dakwaan terbabit sama sekali tidak berlaku disebabkan tiada apa-apa yang dibincangkan dan diperkatakan mereka ketika ini.

"Dua ADUN yang dimaksudkan itu maknanya kamilah kan. Bagaimanapun, tiada apa-apa dan kami menjalankan tugas seperti biasa. Hubungan pun seperti biasa.

Iklan

"Jikalau tidak, tidak datanglah kami hari ini (Ahad) dan kita hanya fikir tentang kerajaan Kedah semata-mata, bagaimana hendak maju dan tingkatkan prestasi serta tidak cari kontroversi,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Pos Aviation dan KLIA College yang disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, di sini pada Ahad.

Iklan

Nor Sabrina berkata demikian ketika diminta mengulas mesej dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mendakwa empat ADUN termasuk dari UMNO akan keluar kerajaan negeri Kedah pada Sabtu.

Bagaimanapun, semakan mendapati hantaran tersebut sudah tiada dipercayai telah dipadamkan pengguna Facebook terbabit.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak mendengar apa-apa khabar berkaitan ada ADUN akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Menurut MB Kedah itu, beliau hanya mengetahui dakwaan itu apabila disoal wartawan, namun menyifatkan ia sekadar khabar angin semata-mata.

"Alhamdulillah, baik. Kedah pun baik. Memang tidak ada isu di Kedah, kira amanlah ketika ini. Kita pun tidak ada buat orang marah,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau sedia berbincang pada bila-bila, di mana-mana dan dengan siapa sahaja sekiranya timbul sebarang isu di Kedah.