Peranan NGO mampu ringankan kos hidup, beban rakyat: Abu Bakar

Iklan
Abu Bakar Yahya menjual ayam kepada orang ramai sempena Program Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat di perkarangan kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR - Usaha untuk meringankan beban kos hidup rakyat boleh dilaksanakan sebaik mungkin sekiranya semua melaksanakan secara serius pendekatan bekerjasama di antara satu sama lain.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, pendekatan sedemikian mampu menangani isu tersebut sekaligus membantu kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat di negara ini khususnya dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah B40.

Iklan
Iklan

"Penganjuran Program Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2 hari ini mampu dijadikan contoh terbaik bagaimana badan bukan kerajaan (NGO) boleh menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam merealisasikan sesuatu sesuatu dasar untuk kebaikan rakyat.

"Saya dimaklumkan bahawa Program Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat ini digembeleng sebuah NGO, Dewan Perniagaan Jualan Jimat Harapan Rakyat (DPJJHR) itu memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan keperluan asas mentah seperti ayam serendah RM2.99 dan ikan serta barangan lain seperti cili, sayur-sayuran, gula, tepung dengan harga yang amat berpatutan.

Iklan

"Bagi saya, usaha ini amat baik dan saya yakin kerajaan amat mengalu-alukan usaha ini. Malah, program itu turut memberi peluang kepada rakyat meninggikan lagi ekonomi masing-masing dengan memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan yang mana bekalan barangan pukal serta modal difahamkan mampu disediakan oleh pihak DPJJHR," katanya.

Abu Bakar berkata demikian selepas menghadiri Program Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Iklan

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Strategik DPJJHR, Datuk Abdullah Mansor.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu mengharapkan program meringankan beban rakyat seumpama itu boleh diperluaskan di seluruh negara dengan melibatkan lebih banyak persatuan-persatuan penduduk sama ada di kawasan kampung, taman perumahan atau kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang didiami majoriti golongan B40.