PASIR PUTEH - Seramai 150 pesawah di bendang Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut, di sini boleh menarik nafas lega selepas Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak akan membekalkan air bagi mengairi semula kawasan berkenaan yang kering-kontang sejak sebulan lalu pada Isnin.
Pengarah Projek IADA Kemasin Semerak, Rohani Jusoh berkata, tindakan itu merupakan usaha yang dijalankan pihaknya untuk mengelak para pesawah mengalami kerugian akibat masalah tersebut.
"Saya berharap para pesawah terbabit dapat bersabar kerana pihak kami (IADA Kemasin Semerak) sedang bertungkus lumus untuk mengatasi masalah itu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.