SPRM nafi lakukan intimidasi terhadap Maszlee

Iklan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan siasatan terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan beberapa pegawainya sebagai satu bentuk intimidasi.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya pada Ahad menegaskan, proses siasatan dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

Iklan
Iklan

"SPRM telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

"Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemubual beberapa saksi yang terlibat.

Iklan

"SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat," katanya.

Media pada Sabtu melaporkan, Maszlee hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen, 20 Januari lalu.

Iklan

Maszlee berkata beliau tidak menyangka tindakannya yang hadir semasa penyerahan memorandum tersebut mengakibatkan dirinya dipanggil polis untuk disoal siasat.

Dalam pada itu SPRM turut menegaskan, siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.

"Justeru itu, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini," katanya.

Sementara itu, menurut sumber, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan disiasat atas dakwaan menerima sejumlah wang daripada pembekal Kementerian Pendidikan yang digunakan untuk aktiviti politik beliau.

Maszlee juga didakwa telah menerima sebuah kenderaan pelbagai guna, Vellfire dari sebuah syarikat di bawah kementerian itu ketika memegang jawatan sebagai menteri.