PERSIAPAN skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini disifatkan mencukupi dan menepati perancangan ketua jurulatih, Brad Maloney.
Malah menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, persediaan yang dilakukan pada ketika ini juga selaras persiapan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang kempen Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan.
Justeru katanya, saingan Piala AFF B-23 kali ini juga merupakan medan menguji pemain-pemain berkaliber bagi membawa cabaran negara pada pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan.
"Kita kena sedar, ini adalah Piala AFF, sasaran kita adalah Piala Asia B-23. Oleh sebab itu, Brad Maloney tidak senaraikan pemain-pemain yang telah pun dikenal pasti sebelum ini? Inilah perancangan katanya.
"Sasaran sebenar adalah untuk membuat yang terbaik dalam AFF B-23 kerana ini adalah medan untuk pemain-pemain baharu yang boleh diharapkan untuk memperkuatkan pasukan bagi mengharungi Piala AFF B-23.
"Saya pun hairan sebenarnya. Semua orang sasar AFF. Habis tu Piala Asia macam mana? Apakah kita akan berpuas hati jika muncul juara Piala AFF, tetapi kemudian dibelasah ketika beraksi di pusingan akhir Piala Asia? Tanyalah Brad Maloney, mana satu yang menjadi keutamaan?,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Anak buah Maloney akan memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF B-23 berdepan Myanmar di Stadium Prince pada 15 Februari, Laos (18 Februari) dan aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.
Mengenai persiapan skuad B-23, Sathianathan berkata, tempoh berkenaan sudah cukup memadai bagi mempersiapkan pasukan yang mantap bagi mengharungi saingan Piala AFF.
"Zaman sudah berubah, dulu kalau nak kumpul para pemain ambil masa dua tiga bulan. Sekarang tidak perlu buat sedemikian dan kita juga kena ingat, pemain-pemain ini semuanya profesional dan juga merupakan pemain tonggak di kelab masing-masing, jadi mereka ini dilihat sudah berada pada tahap yang tersendiri.
"Oleh itu, masing-masing akan dapat kecergasan ketika beraksi dengan kelab masing-masing. Sebagai contoh, Ariff Aiman Hanafi, dia sekarang di Dubai untuk pra musim dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), akan beraksi menentang kelab-kelab terkemuka dunia.
"Jadi perkara-perkara seperti ini akan membantu mereka untuk mendapatkan kecergasan, minit permainan dan pengalaman yang boleh digunakan bagi membantu skuad B-23 pada saingan Piala Asia,” katanya.
Pada masa sama, Sathianathan berharap Maloney dapat mengenal pasti senarai kesebelasan terbaik untuk beraksi di Piala AFF B-23, selain mengenal pasti senarai 30 pemain untuk pusingan akhir Piala Asia.
"Secara keseluruhannya, untuk mendapatkan senarai 30 pemain itu, bukannya senang. Oleh itu, mereka perlu diuji pada saingan Piala AFF B-23 ini.
"Di Piala AFF inilah mereka akan memperolehi pengalaman dan diharap ia dapat dimanfaatkan sekiranya tersenarai untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Asia B-23,” katanya.