SHAH ALAM -Di sebalik kekangan akibat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang berlangsung selama 10 hari bermula 21 Januari lalu tetap mendapat sambutan luar jangka daripada ribuan pengunjung dari hari pertama.
Penolong Pengurus Besar Jualan Kumpulan Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, secara keseluruhan jualan gudang itu dianggarkan berjaya menarik 30,000 pengunjung sepanjang tempoh berkenaan.
"Dalam tempoh Covid-19 ini, kita tidak jangka orang akan datang ramai macam ini, sebab kita ingat orang masih takut. Tapi sebenarnya sambutan adalah di luar jangka dan ia masih sama macam dulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Roziana, antara buku yang mendapat sambutan ialah buku nota My#QuranTime yang sudah lengkap sirinya dengan 12 juzuk al-Quran dan juga terjemahan al-Quran Al-Andalus.
Beliau memberitahu, para pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk memborong novel terbaharu Ramlee Awang Murshid bertajuk Anding Ayangan Tiga dan pelbagai lagi novel lamanya yang lain.
Roziana melahirkan penghargaan terhadap para pengunjung dan pembaca produk buku Karangkraf yang hadir memberikan sokongan sepanjang jualan tersebut diadakan.
"Akan datang insyaALLAH kami akan keluarkan lagi buku-buku baru dan nanti kalau keadaan sudah kembali pulih, kemungkinan setiap tahun kita akan buat lagi. Tunggu pengumuman kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, rata-rata pengunjung yang ditemui pada hari terakhir jualan gudang itu pada Ahad berharap agar acara tersebut dapat terus diadakan secara tahunan.
Ejen hartanah dari Petaling Jaya, Ahmad Khushairi Hapidz, 38, berkata, selain daripada harga sangat murah, kepelbagaian tawaran produk yang ditawarkan dalam jualan gudang adalah sangat menarik dan sesuai untuk semua peringkat golongan.
"Ini sudah kali ketiga saya hadir ke jualan gudang yang diadakan oleh Karangkraf dan untuk kali ini saya juga membawa anak-anak sekali untuk bagi mereka pilih buku yang mereka nak. Ayah saya pun ada kirim untuk beli al-Quran.
"Dengan tawaran diskaun yang sangat tinggi, memang sangat bagus kalau acara sebegini diadakan setiap tahun,” katanya.
Seorang pesara dari Salak Tinggi, Sepang, Rosli Hamid, 61, berpendapat program jualan gudang itu diadakan secara teratur sekaligus memudahkan pengunjung untuk mendapatkan buku dikehendaki.
"Dari segi tawaran buku juga sangat baik. Jadi bagus juga jika acara ini dibuat setiap tahun,” ujarnya.
Seorang pelajar sekolah menengah dari Kapar, Nur Nadia Natasya Abdullah, 17, memberitahu, dia sememangnya menunggu-nunggu acara jualan gudang tersebut setiap tahun bagi mendapatkan novel dan buku ilmiah pada harga menarik.