KOTA BHARU - MCA Kelantan mencipta kelainan apabila berjalan sejauh 6 kilometer (km) mengagihkan angpau dan limau kepada masyarakat Tiong Hua, Melayu dan India menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar bandar ini.
Uniknya, perjalanan yang bermula dari Dataran Cheng Ho, Jalan Kebun Sultan dengan mengelilingi beberapa lokasi di bandar ini turut dimeriahkan dengan persembahan tarian singa yang merupakan tradisi masyarakat Cina.
Pengerusi MCA Kelantan, Chua Hock Kuan, berkata, pendekatan itu bertujuan untuk menyuburkan lagi konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang ada di negeri ini.
"Walaupun disambut secara sederhana akibat serangan Covid-19 namun usaha ini perlu disokong oleh semua pihak dalam mengukuhkan penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Menurutnya, perpaduan itu perlu terus dikekalkan supaya generasi pada masa hadapan dapat meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan ini dengan sebaik mungkin.
Beliau berkata, keharmonian hidup dalam pelbagai kaum ini bukan boleh dicapai dengan mudah dan MCA Kelantan sentiasa mengeji mana-mana pihak yang membangkitkan isu perkauman.
Hock Kuan berkata, kehadiran pimpinan Barisan Nasional (BN) dari UMNO menunjukkan penyatuan dan perpaduan menjadi tunjang yang menentukan kestabilan negara.
"MCA Kelantan akan terus menghidupkan lagi perpaduan dan penyatuan dalam kalangan masyarakat dengan sebaik mungkin menerusi titik persamaan antara kaum.
"Besar hasrat kami supaya, semua rakyat bersatu menerusi perkongsian perayaan sesuai dengan konsep masyarakat berbilang kaum," katanya.
Menurutnya, gerak kerja perpaduan dan penyatuan kaum itu perlu terus dibuat pembaikan supaya ia terus kekal subur sepanjang masa.