PERAK FC menafikan logo baharu pasukan itu bersifat tangkap muat sebaliknya telah diperhalusi dan dipersetujui oleh pihak pengurusan kelab.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah berkata, penghasilan logo itu telah dibincangkan di peringkat pengurusan sejak awal bulan ini selain transformasi yang dilakukan adalah sejajar dengan penjenamaan semula skuad The Bos Gaurus.
"Logo ini dihasilkan oleh pereka kami sendiri. Pada asalnya, hasrat kita untuk tukar logo pada penghujung musim ini jika pasukan berjaya kembali semula ke Liga Super namun ia dipercepatkan disebabkan banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan.
"Bagi saya, perubahan yang dibuat tidaklah terlalu drastik dan kita masih mengekalkan elemen asal seperti warna (kuning dan hitam) serta seladang sebagai maskot pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Sabtu lepas, Perak FC telah memperkenalkan logo baharu menjelang saingan Liga Premier musim ini menerusi laman media sosial milik kelab berkenaan.
Menerusi satu klip video berdurasi 45 saat yang dimuat naik di akaun Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube kelab tersebut, beberapa logo Perak FC sebelum ini turut ditampilkan dari 1921 hingga 2021.
Beliau berkata pihaknya berlapang dada dan menerima segala kritikan dilontarkan terhadap logo berkenaan dengan hati terbuka.
Dalam pada itu, Muhammad Yunus berkata The Bos Gaurus akan mendaftarkan 27 pemain tempatan pada musim ini dan sesi menandatangani kontrak secara rasmi akan bermula hari ini (Isnin).
"Sesi menandatangani kontrak dilakukan secara berperingkat bermula hari ini dan kita jangkakan ia dapat diselesaikan pada minggu ini,” katanya.
Mengulas desas-desus penyertaan bekas pemain Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin dan bekas tonggak kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor ke dalam pasukan, beliau berkata, ia belum dimuktamadkan namun mengakui kedua-duanya telah menyertai latihan dikendalikan ketua jurulatih, Yusri Che Lah.
"Saya tidak boleh katakan mereka pasti akan bersama pasukan kerana buat masa ini kita kena juga lihat pelbagai aspek dan pandangan daripada jurulatih sebelum keputusan sebenar dibuat,” katanya.
Muhammad Yunus berkata, Perak FC juga sedang merancang mendapatkan khidmat tiga tonggak import dan urusan menandatangani tonggak import itu dijangka selesai sebelum 22 Februari ini. - Bernama