DUBAI - Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin berjaya memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh pemberontak Houthi dari Yemen ke arah negara Teluk itu tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Ia merupakan serangan ketiga yang berlaku untuk bulan ini.
Iklan
Iklan
Kementerian Pertahanan UAE dalam satu kenyataan berkata, serpihan peluru berpandu itu jatuh di kawasan yang tidak berpenghuni.
Menurut kementerian itu, ia memusnahkan pelancar peluru berpandu Houthi di Yemen, namun tidak menyatakan lokasinya.
Dalam pada itu, UAE mengesahkan kesediaannya untuk menangani sebarang ancaman dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi negara berkenaan daripada sebarang serangan.
Sebelum ini, tiga pekerja warga asing terbunuh dalam serangan pertama kumpulan Houthi pada 17 Januari lalu manakala serangan kedua berlaku kira-kira seminggu kemudian tetapi ia berjaya dipintas UAE.
Serangan terbaharu itu juga berlaku ketika UAE menerima lawatan rasmi pertama Presiden Israel, Isaac Herzog selepas Abu Dhabi menormalkan hubungan dengan rejim Zionis pada tahun 2020. - Agensi