BIARPUN namanya kini sedang meningkat naik dan kerjaya seni semakin menyinar, penyanyi Wani Kayrie tidak pernah melupakan hasrat untuk menyambung pengajian sekali gus menunaikan janji kepada ibunya yang ingin melihat dia belajar sehingga ke peringkat tertinggi.
Berbekalkan keputusan cemerlang, 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, Wani memilih untuk menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di Management & Science University (MSU), Shah Alam bermula April depan.
"Selepas setahun tertangguh dan sibuk dengan kerjaya seni, tibalah masanya untuk saya kembali menyambung pengajian sebagaimana yang ibu mahukan.
"Alhamdulillah saya juga mendapat biasiswa penuh daripada pihak universiti sepanjang pengajian di sini berdasarkan keputusan SPM yang diperoleh sebelum ini sekali gus menjadi pembakar semangat untuk saya belajar dengan bersungguh-sungguh.
"Biarpun pada awalnya saya ingin mengambil jurusan berkaitan perniagaan atau perhubungan awam selari dengan minat saya, namun akhirnya akur untuk memilih undang-undang atas permintaan ibu yang mahu saya terlibat dalam bidang profesional,” ujar Wani.
Menerusi perkembangan tersebut juga, Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 19, terpaksa melupakan seketika perancangannya untuk mengembangkan kerjaya seni ke Indonesia.
Menganggap ia sebagai satu pengorbanan yang berbaloi untuk masa depannya, bekas peserta D’Academy Asia musim keempat ini percaya rezeki untuk ke sana akan tiba pada ketika yang sesuai kelak.
"Memang sebelum ini saya merancang untuk mengembangkan kerjaya di Indonesia selepas menyertai program, D’Academy Asia pada tahun lalu.
"Namun selepas mendapat tawaran menyambung pelajaran, saya membuat keputusan untuk menangguhkan perancangan itu dan memberi tumpuan kepada pengajian saya yang bakal bermula pada awal April ini,” tegasnya.
Menurut Wani yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Jangan Jangan ini, dia bagaimanapun akan terus aktif dalam bidang nyanyian di tanah air seperti biasa meskipun bakal sibuk dengan rutin baru sebagai pelajar.
"Insya-ALLAH saya akan terus aktif dalam bidang seni meskipun kembali bergelar pelajar selepas ini.
"Saya tidak rasa ada masalah untuk membahagikan masa kerana sebelum ini pun saya melakukan perkara yang sama di mana aktif dalam nyanyian ketika masih bersekolah.
"Lagi pun pihak universiti memberi kelonggaran kepada saya untuk berbuat demikian asalkan saya tidak mengabaikan pengajian dan mendapat keputusan yang baik sebagaimana yang telah disyaratkan mereka,” kata Wani yang bakal muncul dalam program The House musim terbaharu yang akan memulakan siarannya mulai 27 Mac ini.