TUMPAT - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menjadikan Ekspo 2020 Dubai sebagai platform memasarkan produk keluaran agensi berkenaan yang dijenamakan sebagai Peladang ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi LPP, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebagai langkah awal pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Lulu Hypermarket di Dubai bagi memasarkan produk jenama Peladang.
Iklan
Iklan
"Jika kerjasama itu berhasil, ia akan membuka dimensi baharu dalam memasarkan produk jenama Peladang di pentas antarabangsa," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Kulim, di sini pada Ahad.
Pada majlis tersebut Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menyampaikan sumbangan limau dan angpau kepada penduduk di kampung berkenaan.
Menurutnya, produk dihasilkan oleh para petani yang dijenamakan sebagai Peladang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, hal ini kerana ia dihasilkan menggunakan piawaian sebagaimana ditetapkan oleh pihak antarabangsa.
Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, kerajaan sentiasa komited dalam meneroka pasaran baharu untuk memasarkan produk tempatan ke pentas antarabangsa.