Sabah mahu teroka kerjasama baharu dengan Sarawak: Hajiji

Iklan
Abang Johari (kanan) menerima kunjungan hormat Hajiji di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, pada Isnin. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah berhasrat meneroka bidang kerjasama baharu dengan Sarawak bagi membolehkan kedua-dua negeri Borneo itu terus maju bersama, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Hajiji dalam kenyataan sempena lawatan kerja ke Sarawak pada Isnin berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, sejarah dan perjuangan.

Iklan
Iklan

"Oleh itu terdapat banyak sinergi untuk dimanfaatkan bagi kebaikan bersama. Sebagai ahli dalam Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kami bekerjasama secara padu bagi mendesak kelulusan Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963, pada tahun lepas,” katanya.

Menurutnya, lawatan kerja ke negeri jiran itu didahului dengan kunjungan hormat keatas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia ada kedua-dua negeri.

Iklan

"Dalam pertemuan yang turut dihadiri anggota kabinet negeri Sarawak, Tan Sri Abang Johari berkongsi pandangan mengenai beberapa perkara termasuk hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, keperluan untuk kestabilan politik, hak Sarawak dan pendirian bersama yang boleh diambil oleh Sarawak dan Sabah dalam mendapatkan hak negeri,” katanya.

Turut mengiringi Hajiji dalam lawatannya ialah tiga timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim Yahya; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong. - Bernama

Iklan