Desakan pengeluaran KWSP tiada kaitan politik

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Desakan UMNO berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 tiada kaitan isu politik.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, desakan itu adalah bagi membantu rakyat yang masih terkesan dan mengalami kesusahan akibat ekonomi pasca Covid-19.

Iklan
Iklan

"Barangkali mereka yang membantah permintaan rakyat itu yang beragendakan politik kerana khuatir kebenaran pengeluaran wang KWSP boleh memberi merit kepada parti UMNO dan sebilangan kepimpinannya.

"Nasihat saya kepada mereka, tidak semua perkara perlu dilihat dalam konteks politik. Perkara melibatkan isu yang merakyat seharusnya didokong oleh semua," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

UMNO menerusi beberapa kepimpinannya konsisten memperjuangkan isu pengeluaran i-Citra KWSP sebanyak RM10,000 secara 'one off' bagi kelangsungan hidup rakyat susulan pasca pandemik.

Ahmad Zahid berkata, UMNO memahami kehendak rakyat yang masih berharap pengeluaran wang KWSP bagi kegunaan waktu sukar ketika ini.

Iklan

"Sebab itu rakyat kesal apabila pembangkang dalam sidang Parlimen baru-baru ini menyokong Menteri Kewangan tidak membenarkan rakyat mengeluarkan wang KWSP mereka.

"Kini cuma rakyat dan parti UMNO yang masih bersama dalam perkara itu. Hanya tinggal rakyat dan parti UMNO memahami betapa terdesaknya sebahagian kita mahu mendapatkan wang tersebut bagi menampung keperluan diri dan keluarga.

"Rakyat jadikan apa yang disaksikan itu sebagai tauladan pada masa depan dan rakyat sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam membuat penentuan pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.