Perak desak KBS, MSN segera laksana Sukma

Iklan
Khairul Shahril (kiri) ketika sidang akhbar di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak, di sini pada Isnin.

IPOH - Kerajaan Perak mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyegerakan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) yang tertangguh sejak tahun 2020.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, penganjuran Sukma tidak boleh lagi ditangguh memandangkan atlet sudah membuat persiapan sejak tahun 2018 lagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua atlet yang telah berlatih hampir empat tahun terpaksa mengorbankan kerjaya dan menangguhkan pengajian dengan harapan Sukma tetap dilaksanakan.

"Saya secara peribadi melihat MSN tidak serius untuk melaksanakannya kerana penganjuran ini sudah berkali-kali ditangguh. KBS dan MSN seharusnya sudah mempunyai formula untuk melaksanakan Sukma ini memandangkan sektor sosial serta ekonomi telah pun dibuka ketika ini. Tidak ada alasan untuk tangguh pelaksanaan acara sukan berprestij ini.

Iklan

"Kesemua 31 jenis sukan yang dipertandingkan sebelum ini juga wajib dilaksanakan dengan juga apa juga cara sekalipun kerana kita perlu menghargai pengiktirafan dan pengorbanan atlet ini. Kalau tidak dilaksanakan sepenuhnya sukan ini, ia satu perkara malang yang ada dalam sejarah sukan Malaysia," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak, di sini pada Isnin.

Khairul Shahril berkata, jika terdapat kekangan dalam menganjurkan beberapa acara atas faktor prosedur operasi standard (SOP) atau kekangan kewangan dan sebagainya, Perak bersedia membantu menganjurkannya.

Iklan

Menurutnya, Perak mempunyai pelbagai fasiliti sukan yang boleh digunakan memandangkan negeri itu menjadi tuan rumah pada Sukma empat tahun lalu.

"Saya pernah mencadangkan perkara ini di dalam mesyuarat sebelum ini memandangkan kita ada pengalaman menganjurkan Sukma pada tahun 2018.

"Bukan kita sahaja, malah ada negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan yang turut menawarkan penganjuran bersama acara-acara tertentu," katanya.

Menurutnya, kontinjen Sukma Perak sudah mempersiapkan hampir 500 atlet bagi menghadapi Sukma akan datang.

Katanya, kesemua atlet masih memberikan komitmen yang tinggi untuk menjalani latihan malah ada atlet yang sanggup menangguh pengajian ke luar negara semata-mata mahu menyertai Sukma.

Beliau berkata, jika perkara ini tidak diambil serius, masa depan sukan negara akan terancam kerana atlet tidak melihat Sukma sebagai peluang untuk menonjolkan diri bagi mewakili negara dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa.