PORT DICKSON - Seorang pelajar berusia 17 tahun tampil di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi membantu siasatan susulan video aksi 'Superman' yang tular dalam kejadian Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pelajar sekolah di kawasan Cheras itu hadir pada jam 9.45 pagi Isnin selepas mengetahui aksinya ditularkan.
"Pada Sabtu lepas polis menerima aduan awam berhubung sebuah video yang menunjukkan aksi sekumpulan motosikal dengan salah seorang penunggang itu membuat aksi 'Superman' dengan meletakkan kaki atas motosikal," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, polis kemudian berjaya mengesan motosikal jenis Modenas Kriss 120 pada Ahad jam 9 malam.
Bagaimanapun katanya, remaja terbabit hadir ke balai polis sejurus mengetahui pihak polis sedang menjejakinya.
"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Pada Sabtu, tular video berdurasi 24 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal dipercayai menghala ke Port Dickson melalui Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
Seorang daripada kumpulan itu bertindak membuat aksi ' Superman' sehingga mencetuskan kebimbangan kepada pengguna jalan raya lain berikutan ia boleh mendatangkan bahaya selain boleh mengundang insiden tidak diingini.