ALOR SETAR - Kakak kepada mangsa tembakan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, berharap rakyat Malaysia mendoakan agar anak saudaranya, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang masih hilang dalam insiden itu ditemui segera.
Mariani Shuib, 49, berkata, hanya doa rakyat Malaysia menjadi kekuatan kepada keluarga mereka yang masih ternanti-nantikan khabar berhubung anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang cedera terkena peluru di bahagian belakang badannya.
Menurutnya, walau dalam keadaan mana sekalipun, keluarga mahu melihat sendiri jasad Mohd Haziq selain menolak tanggapan buruk yang tersebar di media sosial.
"Saya mohon rakyat Malaysia mendoakan agar Haziq ditemui, sama ada hidup atau mati, yang penting kita jumpa dia,” katanya, dengan nada sebak.
Sehingga kini, nasib Mohd Haziq belum diketahui selepas melarikan diri ketika serangan pengganas di masjid berkenaan, kelmarin.
Mariani berkata, adik bongsunya, Mohd Tarmizi kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan membuang peluru di bahagian belakang badannya.
"Mohd Tarmizi sudah boleh bercakap, kami sekeluarga berasa sangat lega kerana pembedahan itu berjaya. Dia sendiri yang mesej saya melalui WhatsApp, beritahu yang Haziq belum ditemui. Namun tidak menceritakan butiran pencarian dilakukan pihak berkuasa di sana,” katanya.
Menurutnya, dia bersama abang kedua, Zakaria Shuib dan sepupunya, Nordina Ahmad Fauzi, akan berlepas ke New Zealand esok.
"Saya tak sangka urusan pemergian ke sana dipermudahkan dan lancar. Kami akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Singapura pada 3.00 petang esok, seterusnya mengambil penerbangan ke New Zealand,” katanya.
Mariani berkata, keluarganya berasa lega apabila urusan pemergian mereka dipercepatkan kerana rungsing memikirkan nasib keluarga Mohd Tarmizi di perantauan.
"Sepatutnya lusa (Selasa), tak sangka urusan cepat setelah dimaklumkan oleh wakil pejabat Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena. Saya dan abang tinggal di Pulau Pinang, manakala Nordina di Kulim, kami bersyukur urusan dipermudahkan,” katanya.
Tiket penerbangan ahli keluarga Mohd Tarmizi dibiayai kerajaan negeri Kedah, Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena serta pejabat Kementerian Luar.