Kekal tarif elektrik bantu rakyat tangani kos sara hidup

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pengekalan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) dapat membantu rakyat menampung kos sara hidup yang tinggi berikutan impak pandemik dan bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Saravanan Thambirajah berkata walaupun berlaku peningkatan kos bahan api ekoran kenaikan harga arang batu di pasaran sehingga mencecah US$200 satu tan, kerajaan melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan menampung kos bahan api untuk tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022.

Iklan
Iklan

Beliau berkata dengan subsidi ini, pengguna tidak perlu membayar kos yang tinggi untuk penggunaan tenaga elektrik.

"Kerajaan telah bersetuju untuk pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Kerajaan memperuntukkan dana KWIE sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata kerajaan juga mengumumkan pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri, akan dikenakan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj.

"Ini kemungkinan menjadi sebab kos operasi mereka meningkat dan akan dipindahkan kepada pengguna seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan dalam tempoh terdekat.

Iklan

"FOMCA menyarankan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya membuat pemantauan dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dan tidak mencatut.

"Ini amat penting kerana harga barang dan perkhidmatan menunjukkan trend meningkat dan akan menjejaskan kuasa beli pengguna terutama golongan B50,” katanya.

Saravanan berkata kerajaan juga perlu meneruskan bantuan kepada golongan tersebut agar mereka terus dilindungi dan dibantu untuk menangani kos sara hidup yang tinggi pada masa kini.

"Kerajaan juga perlu membantu perniagaan dan industri yang terkesan melalui inisiatif yang dapat membantu mengurangkan kos operasi agar mereka dapat menanggung kos ini tanpa menjejaskan operasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pengguna mengambil langkah bijak bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik walaupun kerajaan telah mengumumkan subsidi.

Ketua Aktivis, Nadzim Johan berkata bagaimanapun, persatuan itu menjangkakan harga barangan tetap meningkat kerana bermula 1 Februari, 2022, kadar surcaj sebanyak 3.7 sen per KWj akan dikenakan kepada pihak industri dan komersial.

PPIM juga bersedia untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga dan mana-mana pihak berkaitan untuk memulakan kempen penjimatan tenaga agar kesedaran mengenai tanggungjawab ini dapat diperluas, katanya dalam kenyataan.- Bernama