Ops Selamat: Polis Terengganu keluarkan 6,094 saman

Iklan
Wan Rukman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Terengganu di Plaza Tol Kuala Terengganu, Kampung Gemuroh, pada Isnin, - Foto Bernama

KUALA NERUS - Polis Terengganu mengeluarkan 6,094 saman dalam tempoh tiga hari Ops Selamat ke-17 sempena Tahun Baharu Cina, yang bermula sejak Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Wan Rukman Wan Hassan berkata, daripada jumlah itu, 5,042 adalah saman akibat kesalahan memandu laju.

Iklan
Iklan

"Jumlah itu adalah selaras dengan peningkatan kenderaan sebanyak tiga kali ganda pada musim perayaan kali ini berbanding hari biasa. Sejak Jumaat, 37,836 kenderaan dilaporkan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan ia tidak termasuk kenderaan lain yang menggunakan jalan persekutuan.

"Ops Selamat juga memberi fokus kepada membendung peningkatan kemalangan jalan raya, memastikan kelancaran lalu lintas, mencegah kejadian pecah rumah, meningkatkan rondaan di kawasan komuniti dan tindakan segera untuk kes tertentu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh di sini, pada Isnin.

Menurutnya seramai 18 pegawai dan 145 anggota pelbagai pangkat dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu terlibat dalam pemantauan sepanjang Ops Selamat bermula dari 28 Januari hingga 6 Februari ini.

Iklan

Sementara itu, Wan Rukman berkata, 98 kes kemalangan dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga hari Ops Selamat ke-17 bermula, melibatkan dua kematian.

"Ia menunjukkan peningkatan berbanding 85 kes kemalangan bagi tempoh tiga hari Ops Selamat ke-16 pada 20 hingga 22 Jan 2020.

"Oleh itu, penguatkuasaan juga akan tertumpu kepada mereka yang didapati tidak mematuhi peraturan yang menyebabkan berlakunya kemalangan dan kesesakan seperti menggunakan telefon bimbit, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan lorong kecemasan," katanya. - Bernama