DUNGUN - Perbuatan seorang wanita dan lima lelaki yang mempunyai pertalian keluarga menjual air ketum terbongkar apabila polis merampas periuk dan dua guni daun ketum selepas menyerbu sebuah rumah di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya di sini.
Ketika serbuan kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 47 tahun itu dipercayai sedang memproses air ketum kerana periuk berisi air ketum masih panas dan dipercayai baharu siap dimasak.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdulah berkata, tangkapan ke atas keenam-enam suspek itu dilakukan pada dua serbuan berasingan iaitu kira-kira jam 1.15 tengah hari dan 2.30 petang kelmarin di rumah sama.
Menurutnya, pada serbuan pertama polis berjaya menahan empat lelaki dan merampas satu guni daun ketum seberat 2.39 kg, seperiuk cecair kehijauan disyaki air ketum sebanyak 5.59 liter dan sebuah bekas plastik mengandungi 15 bungkus cecair sama sebanyak 2.33 liter.
"Di dalam bekas plastik itu kita turut temui ketulan ais dipercayai untuk menyejukkan air ketum yang sudah siap dibungkus. Periuk yang masih panas berisi air ketum itu ditemui di dapur rumah berkenaan.
"Pada serbuan kedua pula kita berjaya merampas seguni lagi daun, juga disyaki ketum seberat 2.30 kg dan menahan seorang wanita berusia 25 tahun dan seorang lelaki berumur 47 tahun," katanyha pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini, hari ini.
Baharudin berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati air ketum itu dijual pada harga RM2 bungkus di sekitar kawasan berkenaan manakala bekalan daun pula dipercayai diambil dari luar Dungun.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah dan mereka juga mempunyai rekod lampau berkait kesalahan narkotik.
"Mereka sekarang ditahan reman selama tiga hari sejak semalam hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.
Menurutnya, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan semua aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang berlaku di sekeliling mereka dengan menghubungi talian 09-8482222.