SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyangkal tuduhan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan 'kad untuk bebas dari penjara' bagi pemimpin UMNO yang digelar 'Kluster Mahkamah'.
Shahril Sufian menegaskan, ia kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak konsisten mengatakan bahawa mereka akan bersihkan nama mereka di mahkamah.
"Jika UMNO dan BN menang di Johor pun dan saya pasti kita akan menang (tetapi) bagaimana kemenangan ini boleh menyebabkan hakim menukar pandangan mereka?
"Aneh juga kenapa alasan ini tidak digunapakai semasa PRN Melaka? Mungkin kerana PRN Melaka ada kaitan dengan Pakatan Harapan (PH) sendiri? Jadi berhentilah menuding jari dan menyalahkan UMNO setiap masa," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman video berdurasi 3 minit 50 saat yang dimuat naik di Facebook beliau pada malam Isnin bagi menjawab tuduhan Chin Tong menerusi rakaman video tentang 'Kluster Mahkamah' penyebab PRN Johor diadakan.
Mengulas lanjut, Shahril Sufian memberitahu, dalam rakaman video yang dibuat Chin Tong, tuduhan kepada pemimpin UMNO itu adalah perkara pokok yang mahu disampaikan pemimpin DAP berkenaan selain tuduhan-tuduhan lain turut dilemparkan kepada UMNO.
Menurutnya, dalam situasi sekarang, Chin Tong dan DAP sepatutnya meluangkan masa 'menjual diri' mereka dengan tawaran 'menarik' kepada rakyat.
"Buktikan mereka paling sesuai memimpin Johor. Itulah yang UMNO dan BN akan lakukan.
"Kita tidak akan luangkan masa beri 100 alasan kenapa PRN ini tidak perlu berlaku kerana ia akan tetap berlaku," katanya.