Bagaimana masa depan Greenwood musnah sekelip mata

Iklan
MASON GREENWOOD - FOTO: AFP

APA yang terjadi kepada Mason Greenwood - pemain bola sepak untuk kelab Manchester United dan England adalah satu pengajaran paling bermakna dan berguna kepada ribuan anak muda yang lain.

Greenwood adalah contoh bagaimana bakat semata-mata tanpa disiplin dan kawal diri yang ketat masih tidak menjamin masa depan yang cerah.

Iklan
Iklan

Kebolehannya menjaringkan gol dari sudut yang sukar adalah aset yang tidak ternilai.

Dengan skil yang luar biasa itu juga, beliau dibayar gaji sehingga £75,000 seminggu yang bermakna dalam sebulan, beliau menerima pendapatan asas sebanyak £300,000, tidak termasuk lagi hasil pendapatan sebagai duta jenama sukan terbesar seperti Nike dan sebagainya, beliau kini mendapati masa depannya gelap dan mungkin berakhir di dalam penjara. Dan beliau baru berusia 20 tahun dengan masa depan yang masih panjang dan jauh.

Iklan

Beliau sedang berhadapan dengan dakwaan merogol dan memukul kekasihnya yang berusia 18 tahun. Kekasihnya sendiri yang memuatnaik gambar dalam platform media sosial yang menunjukkan dia dalam keadaan berdarah dan cedera di bibir serta pelbagai kesan lebam di badan yang didakwanya adalah akibat perbuatan Greenwood.

Terdapat juga rakaman audio yang didakwa bagaimana dia dipaksa melakukan hubungan seks. Setakat ini, belum disahkan lagi apakah suara di dalam audio itu adalah suara Greenwood.

Iklan

Yang pasti, pemain muda itu kini berada di dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

Jika beliau mahu mengambil iktibar daripada kesilapan lampau, beliau mungkin tidak akan melakukan kesilapan terbaru ini. Lebih kurang setahun yang lalu, pemain muda ini pernah dihantar pulang dari kem latihan pasukan kebangsaan di Iceland apabila beliau dan seorang lagi pemain muda dari Manchester City Phil Foden melanggar SOP Covid-19 dengan menyeludup masuk dua orang wanita Iceland ke dalam bilik hotel.

Greenwood dengan segera memohon maaf secara terbuka kepada umum. Sejak insiden itu beliau bukan sahaja digugurkan dari skuad kebangsaan malah tidak pernah dipanggil semula sedangkan Foden terus mewakili England sebanyak 12 kali di kejohanan Eropah 2020 dan Piala Dunia.

Namun begitu di peringkat kelab, prestasinya tidak jatuh sebaliknya telah mewakili United sebanyak 129 kali dalam usia yang sangat muda dan menjaringkan 35 gol.

Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick (kiri) ketika memasukkan Greenwood semasa aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace di Old Trafford pada 5 Disember lalu. FOTO: AFP

Greenwood juga disenaraikan sebagai salah seorang daripada lima pemain remaja paling bernilai di dunia dengan tafsiran bernilai £133.9 juta oleh CIES Football Observatory. Bayangkan nilai itu kepada kelab yang diwakilinya. Sudah tentulah beliau merupakan aset yang paling berharga.

Namun, gaya hidup peribadinya telah memusnahkan semua itu dalam sekelip mata. Sebelum insiden yang menimpa kehidupan peribadinya itu terbongkar menerusi media sosial beberapa hari yang lalu, Greenwood sedang dalam proses rundingan dengan Nike untuk royalti penjenamaan yang sama taraf dengan bintang-bintang sukan yang lain. Royalti itu bernilai berjuta pound sterling.

Kini, Nike sendiri akan bertanya apakah mereka mahu dikaitkan dengan seorang bintang sukan yang sedang terpalit skandal.

Dalam pada itu, sebaik sahaja kesnya terbongkar, rakan-rakan sepasukannya seperti penjaga gol utama United, David de Gea, Cristiano Ronaldo, Paul Pogba, Edinson Cavani, Fred, Jesse Lingard dan Marcus Rashford tidak menunggu lama untuk terus tidak lagi mengikutinya di laman Instagram.

Pihak media tempatan sebelum ini membuat spekulasi yang Ronaldo mempunyai masalah dengan Greenwood apabila dalam satu temuramah penyerang Portugis itu membuat kenyataan bagaimana pemain muda kini enggan menerima nasihat daripada pemain senior dan mempamerkan sikap sombong di atas padang.

Mereka dengan segera menuding jari ke arah Greenwood.Di padang latihan, Greenwood juga sering kali ditegur kerana datang lewat dan itu dikatakan menjadi punca mengapa namanya digugurkan dari kesebelasan utama dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2020.

Bagaimanapun, tiada apa yang lebih besar dan menjejaskan reputasi dan masa depan kariernya jika dibandingkan dengan dakwaan yang dilemparkan ke atasnya Ahad lalu.

United mengambil masa lebih 24 jam untuk mengeluarkan kenyataan rasmi dengan mengesahkan yang beliau tidak akan terlibat dalam apa-apa sesi latihan atau bermain mewakili kelab sehingga dimaklumkan kelak.

Sedang pihak polis menyiasat kes ini, United mendapati mereka berada dalam situasi yang sangat-sangat rumit.

Di tangan kanan mereka miliki seorang bintang yang bernilai tinggi yang baharu berusia 20 tahun dan di tangan kiri, pemain yang sama kini mungkin berakhir sebagai seorang yang tiada nilai langsung akibat masalah peribadi yang sedang dihadapinya.

Dan walau apa sekalipun keputusan hasil daripada siasatan itu nanti, reputasinya telah tercemar dan nilai dirinya akan menjunam dengan dahsyat. Moga ini menjadi pengajaran kepada atlet yang lain.