SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia benarkan bakal-bakal calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) sekiranya ia dilaksanakan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah tersebut wajar dilakukan oleh semua bakal calon PRN Johor demi kebaikan negara dan rakyat.
Iklan
Iklan
"Maknanya semua parti sebelum memperkenalkan calon (PRN Johor), mereka mesti melalui ujian ini dan mesti lulus. Itulah syarat dia,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Nurhayati Nordin menyarankan supaya calon-calon yang berpotensi bertanding pada PRN Johor mengambil ujian psikometrik RBTag sebagai alat pengukur kebolehpercayaan seseorang individu dan menjadi jaminan kestabilan kepada rakyat negeri itu.Dalam pada itu, Rosol berkata, saranan berkenaan perlu diaplikasikan untuk semua parti yang menyertai PRN Johor.
"Sebab kita nak menguruskan negara ini bukan semestinya parti kita sahaja. Semua parti dicadangkan terlibat sama dan mengambil ujian ini. Yang penting untuk kebaikan negara."Sama ada UMNO, PKR dan semua parti. Harapan saya supaya PRN Johor pengundi dapat memilih siapa yang terbaik untuk masa depan negeri dan juga negara,” ujar beliau.