Dua beradik parah akibat langgar lampu isyarat

Iklan
Rakaman video kemalangan membabitkan dua beradik dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Jasin (AMJ) di sini, pada malam Isnin. Keadaan motosikal dinaiki dua beradik berkenaan.

ALOR GAJAH - Padah langgar lampu isyarat, dua beradik parah selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Jasin (AMJ) di sini, pada malam Isnin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa Anis Athirah Nor Azlan, 28, yang dalam perjalanan dari Ampang, Selangor menunggang motosikal jenis Honda Waze bersama adiknya Nur Aima Natasya Nor Azlan,19.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mereka terus membelok ke arah kanan jalan walaupun lampu isyarat merah.

"Sebuah lori jenis Isuzu dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami cedera parah.

Jelas beliau, sehingga kini (Selasa) mangsa yang dirawat di Hospital Melaka masih belum sedarkan diri.

Iklan

"Pemandu lori dan kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah pun memberikan keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan )APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, video kemalangan tular di media sosial itu menunjukkan dua beradik itu menunggang motosikal secara melulu dan melanggar lampu isyarat merah sebelum dirempuh sebuah lori.