SEMPORNA - Taktik penyeludup menjadikan sebuah 'pondohan' atau rumah atas air sebagai tempat transit petrol gagal apabila diserbu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kampung Galam Galam, Pulau Bum-Bum, di sini, pada malam Isnin.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, tiada tangkapan dibuat bagaimanapun sebanyak 35 tong berisi petrol dirampas.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, rampasan dibuat ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang dalam penugasan Op Pluto Timur di kawasan berkenaan.
"Hasil rondaan mengesyaki terdapat aktiviti mencurigakan di sebuah pondohan sebelum serbuan dibuat.
"Anggota kita percaya yang rumah itu dijadikan sebagai transit petrol sebelum diseludup ke negara jiran dan hasil pemeriksaan menemui 35 tong berisi minyak petrol dengan anggaran 25 liter setiap tong," katanya dalam kenyataan di sini, pada malam Selasa.
Katanya lagi, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira sebanyak RM1,500.
"Siasatan dilakukan bagi mengesan pemilik premis serta dalang disebalik kegiatan ini dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 196," katanya.
Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatakuasaan di kawasan 'hot spot' terutama sekitar sempadan perairan negara untuk membanteras penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini melalui jalan laut.