MUIP agih RM170.9 juta untuk asnaf

Iklan
Asmadi

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengagihkan sebanyak RM170.9 juta bagi membantu lapan asnaf dalam pelbagai bentuk bantuan sepanjang pertengahan Disember tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, lebih RM67.1 juta diagihkan kepada asnaf fisabilallahi dan lebih RM76.4 juta kepada golongan fakir dan miskin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, individu yang dilantik sebagai amil turut menerima bantuan lebih RM16.3 juta, manakala lebih RM10.3 juta diagihkan kepada golongan fakir, seterusnya mualaf (RM5.6 juta).

"Sebanyak RM5.2 juta turut disediakan kepada golongan gharimin atau individu yang mempunyai hutang, bantuan untuk Riqab (RM363,580) dan Ibnu Sabil (RM361,310)," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Asmadi berkata, bantuan zakat itu diagihkan dalam bentuk kewangan, barangan keperluan, selain membaikpulih dan membina rumah baharu serta penganjuran pelbagai program keagamaan di seluruh Pahang.

Beliau berkata, masih ramai masyarakat khususnya penduduk di negeri ini tidak mengetahui bantuan yang disediakan dan ada dalam kalangan mereka layak memohon sekiranya tergolong dalam lapan asnaf.

Iklan

"Kita akan sentiasa membantu golongan asnaf, namun disebabkan tidak mempunyai maklumat berkaitan mereka, bantuan tidak dapat disalurkan.

"Jadi, kita harapkan kerjasama daripada masyarakat setempat termasuk ketua kampung dan penghulu untuk memberi maklumat mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Dalam pada itu, Asmadi berkata, lebih RM40.9 juta diperuntukkan pada tahun lalu bagi program pembangunan pendidikan dan sebanyak RM7.4 juta pula diagihkan bagi pelaksanaan program pembangunan masjid, surau dan tanah kubur.

Katanya, penyaluran bantuan yang disediakan setiap tahun bergantung kepada jumlah bayaran zakat yang diterima oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang.

"Jika banyak kutipan zakat, banyak peruntukan yang akan disalurkan kepada mereka memerlukan dan kita berharap lebih ramai lagi pembayar zakat tampil di negeri ini," katanya.