KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL) membelanjakan £295 juta (RM1.66 bilion) pada jendela perpindahan Januari ini, paling banyak sejak 2018 dengan lima pasukan terbawah menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan syarikat audit Deloitte pada Selasa, perbelanjaan kasar dalam liga utama Inggeris bagi jendela perpindahan Januari 2022 direkodkan empat kali ganda lebih tinggi berbanding Januari 2021 di mana hanya £70 juta pound (RM396.23 juta) dibelanjakan oleh pasukan, sekaligus menjadikan perbelanjaan jendela perpindahan Januari tahun ini yang kedua tertinggi sejak 2003.
Tambah laporan itu, perbelanjaan EPL turut menyumbang kepada hampir 50 peratus daripada perbelanjaan kasar di seluruh lima liga besar Eropah.
"Jendela perpindahan ini menunjukkan tekanan kewangan Covid-19 ke atas kelab EPL semakin berkurangan.
Selain itu jendela perpindahan Januari ini menyaksikan perbelanjaan kelab kembali kukuh seperti sebelum pandemik bermula selain antara yang tertinggi pernah disaksikan.
"EPL terus mendahului (perbelanjaan pada jendela perpindahan) di peringkat global selain mengekalkan statusnya sebagai liga bola sepak domestik terbesar dunia dari segi kewangan.
"Ia turut disokong dengan kehadiran penuh peminat ke stadium dan juga berjaya mendapatkan tawaran penyiaran luar negara yang kukuh," kata laporan itu.
Untuk rekod, antara kelab EPL yang aktif melakukan perbelanjaan pada jendela perpindahan kali ini ialah Everton apabila kelab itu berjaya merekrut dua pemain tengah iaitu Donny van de Beek dan Dele Alli pada hari tarikh akhir perpindahan Isnin.
Selain itu, Newcastle United yang kini berada di ambang penyingkiran turut aktif berbelanja sejak pengambilalihan oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi.
The Magpies berjaya menandatangani pemain Brazil Bruno Guimaraes dari Olympique Lyonnais dengan harga sekitar £33.34 juta (RM188.75 juta).