Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sudah padam: Reezal Merican

Iklan
Keadaan terkini Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya, pada Selasa.

NIBONG TEBAL - Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Jalan Byram, Nibong Tebal sudah padam sepenuhnya, pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan perkara itu di Facebooknya.

"Operasi pemadaman di kawasan seluas lebih 11 hektar tersebut berjaya setelah tiga minggu terbakar sejak 12 Januari lalu.

Iklan

"Alhamdulillah, misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung disempurnakan sepenuhnya. Terima kasih, saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya," katanya menerusi hantaran itu, pada Selasa.

Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Nibong Tebal berkeluasan 33 hektar itu terbakar namun dianggarkan kawasan terlibat hanya 11 hektar.

Iklan

Sebahagian anggota bomba terlibat dalam misi pemadaman kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung. Foto Ihsan FB Reezal Merican

Seramai kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah tersebut dipindahkan sementara atas faktor keselamatan susulan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati, udara di kawasan itu mengandungi gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, walaupun kebakaran berjaya dipadamkan, JAS Pulau Pinang akan terus memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram.

Menurut Boon Poh, ia bagi memastikan udara di kawasan berkenaan selamat untuk penduduk.

"JAS juga akan pantau bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran di tapak berkenaan. Sehingga 7 pagi tadi (Rabu), bacaan IPU di kawasan itu menunjukkan sederhana iaitu 74 dan 73 pada jam 10 pagi," katanya.