KOTA BHARU - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan sebuah lokomotif kereta api terbakar di Kilometer (KM) 490.50 hingga 491.00 di antara Pasir Mas dan Tanah Merah pada Selasa malam.
Ketua Pegawai Operasi, Mohd Zain Mat Taha berkata, lokomotif yang membawa seramai 180 penumpang Ekspres Rakyat Timuran No 27 itu dalam perjalanan dari Stesen Tumpat ke Stesen Kempas Baru, Johor.
"Kebakaran dapat dipadamkan pada jam 12.20 tengah malam oleh pasukan bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah setelah menerima laporan daripada pihak KTMB pada jam 9.20 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, sebagai langkah keselamatan semua penumpang dikeluarkan ke tempat selamat dengan bantuan kakitangan dan anggota Polis Bantuan KTMB yang bertugas sementara menunggu kebakaran dipadamkan.
Beliau berkata, kebakaran tersebut tidak melibatkan nyawa penumpang di dalam tren serta pemandu yang bertugas kerana ia membabitkan bahagian enjin lokomotif dan tidak merebak ke gerabak penumpang.
Katanya, semua gerabak tersebut telah ditarik dengan lokomotif bantuan ke Stesen Pasir Mas dan pada jam 2.46 pagi penumpang meneruskan perjalanan dengan selamat ke destinasi masing-masing.
"Siasatan dan punca kebakaran sedang disiasat oleh pihak KTMB dan sebarang maklumat lanjut sila layari saluran media baharu KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200," katanya.
Sinar Harian melaporkan kira-kira 180 penumpang perkhidmatan kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru berdepan detik cemas apabila bahagian enjin kenderaan itu yang membawa 13 gerabak terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi, Pasir Mas.
Kejadian jam 9.44 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.