JOHOR BAHRU - Seramai 36 individu ditahan dalam Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina di seluruh negeri melibatkan pelbagai kesalahan yang bermula akhir bulan lalu hingga Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara kesalahan dilakukan memandu dalam keadaan mabuk, samseng jalanan, penyalahgunaan dadah dan mempunyai rekod dikehendaki polis.
Iklan
Iklan
"Semua ditahan berusia antara 18 hingga 56 tahun. Sebanyak 776 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh lima hari Op Selamat diadakan dan ia menurun sebanyak 443 kes berbanding Op Selamat Tahun Baharu Cina pada tahun lalu.
"Jumlah kematian turut menunjukkan penurunan dengan sembilan kematian direkodkan berbanding 11 kematian dalam operasi tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, Polis Johor meningkatkan rondaan di kawasan 'black spot' selain mempercepatkan masa tindak balas kepada halangan dan kemalangan yang dilaporkan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Selain itu katanya, konsep advokasi juga diterap kepada masyarakat dan memberi bantuan sekiranya dalam kecemasan sebagai tanda keperihatinan anggota JSPT kepada masyarakat.
"Penguatkuasaan tegas juga dilaksana dengan konsep 'total enforcement' kerana dengan penguatkuasaan tegas sahaja dapat mendidik masyarakat untuk terus patuh pada peraturan dan undang-undang," ujarnya.