Pesakit kanser jangan tangguh terima rawatan

Iklan
Dr Selasawati (tengah) ketika majlis perasmian Program Hari Bersama Pesakit Kanser sempena Hari Kanser Sedunia 2022 di HRPZ II di Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU - Pesakit kanser di negeri ini diingatkan supaya tidak menangguhkan rawatan kerana tindakan itu dikhuatiri boleh memberikan kesan buruk kepada mereka pada masa hadapan.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, hal ini kerana ada dalam kalangan pesakit yang pulang ke rumah sukar untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan rawatan atau sebaliknya.

Iklan
Iklan

"Untuk makluman, kita ada tenaga pakar dan kemudahan teknologi sebagai ikhtiar dalam merawat penyakit ini.

"Alhamdulillah selepas mendapatkan rawatan ada dalam kalangan pesakit sudah mampu untuk kembali bekerja dan perkara ini merupakan sesuatu yang positif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pesakit Kanser sempena Hari Kanser Sedunia 2022 di HRPZ II di sini pada Rabu.

Iklan

Seramai 125 pesakit kanser yang terpilih dari seluruh Kelantan melibatkan lima kanser utama iaitu kanser payudara, usus, darah, paru-paru dan pangkal rahim diraikan serta menerima bantuan wang tunai dan bakul makanan.

Hadir sama ialah, Pengasas Yayasan Kaseh Kanser, Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.

Iklan

Menurutnya, pesakit kanser disaran untuk tampil mendapatkan rawatan awal bagi melawan penyakit berkenaan.

Beliau berkata, ahli keluarga yang terdekat perlu memainkan peranan dengan memujuk dan memberikan sokongan jika ada dalam kalangan mereka dikesan menghidap kanser untuk mendapatkan rawatan lebih awal.

Dr Selasawati berkata, tahap kesedaran penyakit kanser di negeri ini semakin baik apabila ia telah meningkat kepada 60 peratus.

"Pihak kami bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta badan bukan kerajaan (NGO) akan terus bertungkus lumus bagi memberikan kesedaran tentang pengesanan awal penyakit kanser.

"Jurang kesedaran ini perlu terus dirapatkan supaya ia semakin meningkat demi kebaikan kita bersama pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, kanser mampu dicegah jika dirawat dan pengesanan saringan awal dibuat.