KUANTAN- Naik taraf infrastruktur jalan raya, bekalan air dan sistem perparitan antara projek pembangunan yang diberi perhatian dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, projek naik taraf infrastruktur itu penting mengambil kira kepentingan industri di sekitar Gebeng dan Pelabuhan Kuantan selain pambangunan Balok sebagai pusat komersial di kawasan itu.
Menurutnya, perancangan itu juga mengambil kira faktor peningkatan penduduk di kawasan itu ekoran pertumbuhan taman-taman perumahan yang rancak dibangunkan.
"Kita jangkakan dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, banyak perubahan akan berlaku di kawasan ini melalui projek pembangunan yang dirancang dan sedang dilaksanakan kerajaan negeri.
"Selain pembangunan infrastruktur jalan raya terutama sekitar Kawasan Perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan, beberapa cadangan telah diangkat bagi projek naik taraf sistem perparitan dan longkang sepanjang laluan Kuantan ke sempadan negeri di Kemaman.
"Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut peruntukan yang ada, namun sebahagiannya sudah dalam pelaksanaan," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Beserah di sini pada Selasa.
Andansura berkata, bagi mengatasi masalah tekanan air yang rendah dan gangguan bekalan air di kawasan itu, penggantian paip bekalan air juga akan dilaksanakan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) secara berperingkat.
"Masalah tekanan air rendah yang berlaku ekoran penggunaan air yang meningkat, namun paip bekalan sedia ada yang lama tidak mampu menampung tekanan air yang tinggi bagi memenuhi permintaan bekalan tersebut.
"Sekiranya tekanan air berlebihan, besar kemungkinan akan berlaku paip pecah dan sebagainya justeru pengantian paip baharu akan dilaksanakan di kawasan ini," katanya.
Tambah beliau, tumpuan akan diberikan kepada kawasan yang padat penduduk dan kawasan perindustrian.
"Selain itu, kerja-kerja untuk Projek Pembinaan Paip Agihan Air Kemaman-Gebeng sepanjang 29 kilometer diterajui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air terawat di Gebeng di sini," katanya.
Projek bernilai RM115 juta itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis menandatangani dan pertukaran dokumen perjanjian pinjaman pelaksanaannya antara kerajaan negeri Pahang dan ECERDC, dua tahun lalu.
Andansura berkata, projek itu dijangka siap pada pertengahan tahun ini khusus untuk keperluan air di Gebeng manakala bekalan air dari loji rawatan air (LRA) sedia ada akan digunakan untuk keperluan domestik.