ARAU - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membantu lebih 3 juta pelajar dengan dana sebanyak RM56 bilion sehingga 28 Februari lalu.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, manakala bagi Perlis, pinjaman pendidikan itu telah memberi manfaat kepada 33,243 pelajar dengan jumlah pinjaman RM515.13 juta.
"PTPTN bukan sahaja dikenali sebagai sebuah institusi pinjaman pendidikan tinggi, sebaliknya sebagai institusi penabungan pendidikan, melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
"Usaha proaktif PTPTN adalah mentransformasikan minda masyarakat untuk membuat penabungan pendidikan, ini tindakan yang murni dan perlu disambut baik segenap lapisan masyarakat,” katanya ketika merasmikan ‘Program Jom Sambung Belajar 2019 di Kolej Vokasional Arau.
Menurutnya, pelajar yang menabung dalam SSPN dapat menikmati pelbagai keistimewaan dan sehingga 28 Februari, sebanyak 3.96 juta akaun dibuka dengan simpanan berjumlah RM 4.68 bilion.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 33,639 akaun dibuka oleh warga Perlis dengan jumlah simpanan RM 17.27 juta. Saya harap ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan memulakan langkah penabungan segera.
"Walaupun ramai ibu bapa menabung dalam skim ini sejak diperkenalkan, ia masih lagi di tahap rendah berbanding jumlah rakyat Malaysia. Amalan menabung secara berterusan akan mudahkan urusan setelah anak ke menara gading,” katanya.
Wan Saiful berkata, program Jom Sambung Belajar 2019 bertujuan membantu lepasan SPM dan STPM membuat permohonan kemasukan ke universiti awam melalui pengisian dalam talian.
"Pelajar diberi pendedahan maklumat mengenai kursus ditawarkan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta maklumat pinjaman PTPTN dan SSPN,” katanya.
Menurutnya, seramai 3,324 pelajar di Perlis menduduki SPM 2018 atau 0.8 peratus daripada keseluruhan pelajar seluruh negara, seramai 391,641 orang.
"Berdasarkan keputusan peperiksaan, 41 pelajar memperoleh gred A semua mata pelajaran, ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, hanya 36 calon, dengan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 5.19
"Pelajar yang menduduki peperiksaan STPM 2018 di Perlis adalah 515 orang dan 12 pelajar memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.
Wan Saiful berkata, pelajar perlu memilih kursus yang tepat untuk lanjutkan pengajian kerana kesilapan pemilihan boleh memberi kesan ketika di pusat pengajian tinggi selain menjejaskan masa depan.