KAJANG - Sebanyak enam kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan harian yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), pada Isnin.
MPKJ menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, sebanyak 17 premis diperiksa menerusi pemeriksaan tamat tempoh sah lesen dijalankan di Jalan Pusat Perindustrian Sungai Jelok 1, Jalan 1 & 3 Taman Seri Langat, Jalan Reko, Jalan 1&3 Taman Majlis Jaya dan Plaza Citra Kajang.
"Pemeriksaan mendapati lima premis memiliki lesen sementara 11 yang lain tidak beroperasi semasa operasi dilaksanakan.
"Tiga premis dikenakan kompaun di bawah undang-undang kecil (UUK) 8 (2) dan UUK6," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Menerusi kenyataan sama, penguat kuasa MPKJ turut melakukan pemantauan penjaja tanpa kebenaran di luar pasar pagi Kampung Baru Semenyih.
MPKJ memaklumkan, terdapat beberapa penjaja tanpa kebenaran telah diarah menutup operasi dan beredar dari lokasi tersebut serta merta.
Selain itu, MPKJ turut mengeluarkan dua kompaun, satu notis amaran serta satu sitaan di Jalan Kajang Putra 7,Taman Kajang Putra di bawah aduan halangan.
"Manakala aduan penjaja di simpang utama Jalan Semenyih Sentral, satu notis amaran dikeluarkan
" Siasatan aduan halangan di tempat letak OKU di Jalan Temenggung, Bandar Mahkota Cheras turut dilakukan dan siasatan mendapati tiada sebarang halangan di lokasi tersebut. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya.