BAGAN DATUK - Barisan Nasional (BN) masih meneliti calon yang berpotensi di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai calon itu hanya akan dimuktamadkan setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Menurutnya, kriteria WALI iaitu iaitu 'winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi) masih diguna pakai sepertimana calon PRN Melaka.
"Beberapa siri perbincangan telah dilakukan dengan pengerusi badan perhubungan Johor dan setakat ini kita masih terus meneliti calon-calon yang berpotensi di setiap kawasan DUN.
"Bagi calon UMNO, kita minta Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad untuk berunding kerana Perlembagaan UMNO menentukan bahawa sebarang calon mesti berbincang dengan ketua-ketua bahagian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemegang amanah dan waris lot tanah Hutan Melintang di Kompleks UMNO Bagan Datuk di Sungai Sumun di sini pada Rabu.
Apabila ditanya mengenai muka baharu, Ahmad Zahid berkata, perkara itu dilihat dari segi landskap politik negeri itu yang berbeza dengan PRN Melaka.
"Acuan tidak semestinya mengikut Melaka yang menampilkan 87 peratus muka baharu. Tentunya acuan di Melaka sesuai di Melaka, acuan di Johor disesuaikan mengikut landskap politik di Johor.
"Bagaimanapun, bila tiba masanya penelitian akhir untuk dimuktamadkan senarai itu akan dilakukan," katanya.
Menurutnya, BN akan mengambil semula dua kerusi di DUN Bukit Batu dan Pemanis yang ditandingi Parti Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
"Kita mempunyai panduan yang lama dalam pembahagian kerusi kecuali kerusi-kerusi dahulunya ditandingi oleh Gerakan, kini kita akan ambil alih semula atas nama BN," katanya.
PRN Johor diadakan selepas DUN dibubarkan selepas diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah Baginda menerima menghadap, Hasni di Istana Bukit Serene, Johor.
Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi daripada 56 DUN.