'Pas pengkhianat sebenar dalam hubungan Muafakat Nasional'

Iklan
Isham

SHAH ALAM- Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan pengkhianat sebenar dalam hubungan Muafakat Nasional (MN) adalah Pas, yang ‘bertunang’ dengan dua pihak yang berbeza.

Jelasnya, mengikut adat apabila bertunang dengan seseorang tetapi tiba-tiba orang itu bertunang dengan orang lain, maka orang yang bertunang dengan orang lain itulah yang sebenarnya pengkhianat.

Iklan
Iklan

"Apabila ini berlaku, pertunangan pertama itu secara automatik terbatal. Lebih-lebih lagi apabila orang itu bertunang pula dengan pengkhianat yang telah mengkhianati kita, maka berlakulah pertunangan antara dua pengkhianat.

"Saya harap mereka (pemimpin Pas) sedar akan hal ini dan tidak beretorik lagi sebab rakyat bukannya bodoh, mereka boleh nampak taktik-taktik politik seperti ini.

Iklan

"Dan ulamak sebenar tidak melabel-label orang lain dan memanggil orang lain dengan nama binatang. Usahlah cemarkan nama ulamak. Jika tersilap langkah, kembalilah ke pangkal jalan. Dalam Islam pintu taubat sentiasa terbuka” katanya dalam satu kenyatan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai respons balas terhadap kenyataan Ketua Penerangan P Senator Ir Khairil Nizam Khirudin ketika sesi dialog bersama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menyatakan bahawa siri ‘pengkhianatan’ oleh UMNO bukan dicetuskan parti itu secara keseluruhan, tetapi oleh puak tertentu di dalamnya.

Iklan

Khairil Nizam turut berkata, kesabaran partinya dalam mendepani kerenah UMNO ada batasnya.

Mengulas lanjut, Isham berkata, pemimpin-pemimpin Pas dilihat sudah keliru dan bercelaru, mungkin disebabkan ‘koyak’ dan rasa bersalah atau mungkin berada dalam sindrom penafian.

"Mereka tentunya tahu pengkhianat sebenar adalah pelompat parti yang ramai dalam Bersatu yang mana parti pemimpin-pemimpin Pas ini hendak sangat pertahan dan ‘bersekedudukan’ itu.

"Sebelum ini di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mereka telah tuntut banyak kerusi walaupun sebelum itu mereka tidak menang satu kerusi pun dan apabila tolak kerusi yang kita tawarkan, kedengaran khabar-khabar beberapa pemimpin Pas ingin ‘ajar’ UMNO di Melaka.

"Kini mereka ingin ‘ajar’ kita di Johor pula. Adakah ini semangat muafakat yang Pas bawa?” soalnya.

Tambah Isham, jika pemimpin-pemimpin Pas bermuhasabah, tentunya mereka sedar pihak sebenarnya mengkhianati MN adalah mereka sendiri apabila mereka mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu.

Pendaftaran PN ini pula katanya berlaku hanya beberapa bulan sahaja selepas Pas menandatangani piagam MN dengan UMNO.

"Tindakan mereka ini dilihat sebagai percubaan untuk paksa UMNO terima Bersatu dan masuk PN jika UMNO mahu bekerjasama dengan Pas, sebab itu mereka tergesa-gesa daftar PN hanya beberapa bulan selepas Langkah Sheraton, di mana beberapa pemimpin Pas dilantik Muhyiddin menjadi menteri.

"Mereka tentunya tahu bahawa akar umbi UMNO tidak boleh terima Bersatu dan pengkhianat-pengkhianat UMNO yang telah melompat ke Bersatu,” ujar beliau.