Israel negara aparteid

Iklan
Salinan laporan ‘Aparteid Israel terhadap penduduk Palestin’ yang diberikan kepada petugas media di Baitulmaqdis pada Selasa. - Foto: Agensi

LONDON - Penindasan berterusan Israel ke atas penduduk Palestin adalah satu bentuk jenayah kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

"Oleh itu, rejim Tel Aviv wajar dilabel sebagai negara aparteid dan mesti bertanggungjawab atas kekejaman yang dilakukan mereka,” ujar pertubuhan hak asasi manusia berpusat di London, Amnesty International pada Selasa ketika ia menerbitkan laporan setebal hampir 280 muka surat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Israel telah mengguna pakai undang-undang dan amalan yang bertujuan mahu mengekalkan ‘sistem kejam’ untuk mengawal penduduk Palestin di seluruh wilayah hingga menyebabkan mereka berpecah-belah dari segi politik dan geografi selain hidup dalam kemiskinan serta ketidakadilan secara berterusan.

"Hak mereka dirampas secara sistematik tidak kira sama ada golongan itu tinggal di Genting Gaza, Baitulmaqdis Timur dan seluruh Tebing Berat. Mereka dilayan sebagai kumpulan yang berkedudukan rendah,” katanya lagi.

Iklan

Amnesty menegaskan mereka tidak membuat perbandingan situasi di Israel dengan era aparteid di Afrika Selatan memandangkan tindakan rejim Tel Aviv memenuhi kriteria jenayah dasar diskriminasi di bawah undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar Israel, Yair Lapid bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menuduh maklumat palsu tersebut kononnya disebarkan pertubuhan pengganas malah Kementerian Luar menggesa Amnesty menarik balik laporan berkenaan.

Iklan

Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu kuat Israel juga menolak label aparteid tersebut walaupun mereka memaklumkan mengambil serius terhadap kesemua pelanggaran hak asasi manusia yang dilaporkan.

"Kami menyokong usaha rejim Tel Aviv, Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan kumpulan aktivis hak asasi manusia untuk memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran serta penyalahgunaan hak asasi manusia,” jelas jurucakap Jabatan Negara, Ned Price.

Dalam perkembangan berkaitan, polis Israel mengakui mereka menggunakan teknologi pengintipan tanpa waran setelah pendedahan laporan akhbar harian bisnes, Calcalist yang mendakwa mereka menggunakan perisian kontroversi, Pegasus yang dihasilkan firma NSO Group.

Menerusi satu kenyataan, ia memberitahu kesemua anggota polis perlu memberi kerjasama secara telus dengan suruhanjaya siasatan.- AFP