Maloney tagih khidmat Wan Kuzri

Iklan
Wan Kuzri

KETUA jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney berharap supaya pemain muda berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal dapat menyertai latihan pusat bersama rakan pasukan lain sebagai persiapan menjelang Piala AFF Bawah-23 di Phnom Penh akan bermula 14 Februari ini.

Pengendali kelahiran Australia itu berkata, beliau bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini sedang berusaha sebaik mungkin untuk membawa pulang Wan Kuzri yang kini terpaksa menangguhkan hasratnya untuk menyertai Harimau Muda negara atas alasan peribadi.

Iklan
Iklan

"Ada beberapa perkara yang perlu Wan Kuzri selesai terlebih dahulu sebelum boleh menyertai latihan bersama rakan sepasukan yang lain. Saya dan FAM kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk bawa dia ke sini.

"Malah semalam saya ada bercakap dengannya mengenai perkara ini dan dia memberi respons yang positif dan kelihatan tidak sabar untuk bersama skuad kebangsaan.

Iklan

"Dengan masa yang kian suntuk, saya harap dia mampu untuk bersama pasukan secepat mungkin bagi memudahkan barisan kejurulatihan untuk merencanakan sebarang perancangan buat pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya pada Rabu.

Terdahulu, Wan Kuzri antara 30 pemain dipanggil Maloney untuk menyertai kem latihan pusat bermula 27 Januari ini sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan AFF B-23 di Kemboja.

Iklan

Untuk rekod, kali terakhir Wan Kuzri menyertai kem latihan pusat pasukan negara adalah bersama skuad B-19 kebangsaan kendalian Maloney pada Ogos 2020.

Dalam pada itu, meskipun menyifatkan Wan Kuzri sebagai pemain yang hebat, jurulatih itu berkata, tidak ada sebarang jaminan bahawa pemain berusia 20 tahun itu akan tersenarai dalam skuad akhir yang akan dibawa ke Kemboja kerana pemain tengah perlu bersaing bersama rakan sepasukan yang lain.

"Semua orang mempunyai peluang yang sama... seperti saya kata sebelum ini, pintu sentiasa terbuka bagi mereka yang benar-benar layak.

"Masih ramai lagi pemain berbakat di dalam pasukan, jadi kami akan sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke masa,” katanya.

Sementara itu, Maloney menegaskan bahawa kejohanan di Kemboja tersebut akan menjadi eksperimen untuk pemain bagi menyesuaikan diri sebelum para pemain bersaing dalam Piala Asia 2022 B-23 yang dijadualkan pada Jun 1 hingga 19 di Uzbekistan dan Sukan Asia di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September depan.

"Saya harap peminat jangan terlalu berharap kejayaan pada Piala AFF ini kerana ia akan dijadikan sebagai satu platform untuk memperbesarkan kumpulan-kumpulan pemain sebagai persediaan menghadapi temasya yang lagi besar. Bagaimanapun kami akan cuba memberi aksi terbaik supaya dapat mara ke peringkat lebih jauh pada kejohanan ini,” katanya.