'Jangan pandang mudah lawan'

Iklan
Zii Jia ketuai cabaran negara di BATC 2022

PEMAIN badminton negara diingatkan supaya tidak mengambil mudah cabaran saingan Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022, walaupun beberapa negara dijangka menghantar pasukan kedua masing-masing.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, para pemain diingatkan untuk fokus dan memberikan aksi terbaik dalam mengharungi kejuaraan itu bagi menjamin sasaran layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber 2022 pada Mei depan menjadi realiti.

Iklan
Iklan

"Pemain negara diharap tidak mengambil mudah BATC kali ini walaupun beberapa pasukan dikhabarkan akan menurunkan pasukan kedua masing-masing.

"Untuk BATC kali ini, memanglah kita berniat menampilkan para pemain muda untuk mereka mendapatkan pengalaman beraksi, tetapi kita juga akan tengok situasi sebelum membuat keputusan untuk menurunkan pemain.

Iklan

"Ini kerana, kita mahu tengok apakah pemain, akan dapat membantu kita untuk mencapai sasaran ditetapkan lebih awal iaitu untuk mara ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber 2022,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod, empat pasukan yang mara ke separuh akhir Kejohanan BATC 2022 di Pusat Konvensyen Setia, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari ini, layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok mulai 8 hingga 15 Mei 2022.

Iklan

Pada BATC 2020 edisi Filipina sebelum ini, skuad lelaki negara sekadar berpuas hati muncul naib juara setelah tewas 1-3 kepada Indonesia manakala skuad wanita pula tunduk 0-3 kepada Jepun pada separuh akhir.

Untuk BATC 2022, skuad negara diketuai, Lee Zii Jia selaku pemain perseorangan utama selain dibantu lima lagi pemain - Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan pemain muda, Jacky Kok Jing Hong.

Gandingan pemenang pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula mengetuai beregu lelaki dengan dibantu gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Skuad wanita pula diketuai Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul bagi kategori perseorangan, manakala beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Selain Malaysia, BATC 2022 itu turut disertai Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Singapura.

Mengulas sasaran skuad badminton negara untuk mara ke separuh akhir BATC kali ini dan merebut slot automatik ke Piala Thomas dan Uber 2022, Choong Hann menyifatkannya sebagai sasaran realistik.

"Bagi saya, kita berupaya mencapai sasaran itu kerana kita tampilkan kepada gabungan pemain senior dan junior yang dilihat berada pada prestasi terbaik pada ketika ini.

"Sebagai contoh, kita tampilkan ramai pemain muda kerana kita mahu berikan mereka pengalaman kepada mereka terutamanya untuk beraksi pada kejohanan berpasukan seperti BATC,” katanya.