KUALA LUMPUR - Pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula pada Khamis di Lembah Klang sebagai permulaan.
Menjelang pelaksanaan PICKids bermula pagi ini, jumlah kanak-kanak dalam lingkungan umur itu yang mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 sudah mencecah 517,107 orang, setakat Selasa.
Data itu dikongsikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ciapan di Twitter pada Rabu yang antara lain memaklumkan bagi kawasan Lembah Klang, kira-kira 47,500 kanak-kanak di Kuala Lumpur, lebih 3,400 di Putrajaya dan lebih 131,500 di Selangor telah mendaftar dalam PICKids.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui Bernama semalam berpendapat keputusan untuk memvaksin anak-anak mereka adalah sebagai ikhtiar untuk memastikan kanak-kanak selamat daripada kesan jangkitan Covid-19 dan membantu mengekang penularan varian baharu.
Selain itu, rata-rata daripada mereka turut memuji proses pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi yang amat mudah dan cepat menerusi aplikasi MySejahtera, malah teruja untuk membawa anak mereka menjalani proses vaksinasi Covid-19.
Ahmad Sufian Abdul Karim, 46, berkata beliau dan isteri mahukan anak-anak mereka diberikan vaksin Covid-19 seperti vaksin lain yang disarankan oleh pakar perubatan bagi mencegah jangkitan penyakit berjangkit.
Katanya, beliau membuat tempahan janji temu vaksinasi anak lelakinya yang berusia lima tahun sebaik sahaja menerima notifikasi vaksinasi di MySejahteranya semalam.
"Lepas dapat SMS (khidmat pesanan ringkas) vaksinasi anak, saya terus buat tempahan slot janji temu di MySejahtera...proses lancar dan mudah.
"Anak dapat vaksin pada Sabtu ini," katanya yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 dan dos penggalak.
Senada dengannya Fong Yee Zie, 38, berkata dua anaknya masing-masing yang akan menerima vaksin pada Ahad ini percaya vaksin adalah langkah terbaik untuk melindungi diri daripada jangkitan wabak itu.
Sementara itu, suri rumah Aula Mohamad Fauzi, 31, berkata walaupun anaknya masih belum layak menerima vaksin Covid-19, beliau menyokong saranan untuk memvaksin kanak-kanak, malah beliau mahu memastikan anaknya turut mendapatkan vaksin itu apabila sudah layak.
"Saya yakin dengan saranan semasa KKM (Kementerian Kesihatan). Saya yakin, vaksin terbaik dalam membina ketahanan sekarang ini.
"Saya faham ada risiko kesan sampingan, tapi kesan Covid-19 mengatasi risiko (vaksin)," katanya.
Dalam pada itu, semakan di media sosial mendapati rata-rata ibu bapa yang telah menerima notifikasi vaksinasi anak mereka, berkongsikan keterujaan serta tangkap layar tempahan janji temu vaksinasi, selain turut mencadangkan kerajaan meningkat promosi serta panduan untuk pendaftaran PICKids menerusi aplikasi itu.
Pengguna Twitter @faraferra9 menciap:"Done (daftar vaksin kanak-kanak)...semoga dapat memberi manfaat dan ada asbab kebaikan, amin. #PICKids."
Terdapat juga ibu bapa yang belum bersedia untuk memvaksin anak mereka, sebaliknya berpendirian untuk tunggu dan lihat dengan perkembangan semasa proses PICKids termasuk laporan kesan sampingan vaksinasi kanak-kanak.
Bagi penjawat awam, Farhah P Ramlee, 38, berkata buat masa ini beliau belum lagi mendaftarkan anaknya untuk vaksinasi Covid-19 tetapi akan mempertimbangkannya.
Pengurus jualan Ahmad Ghazi Fadillah, 42, juga mengambil pendekatan sama bagi anaknya yang berusia enam tahun kerana khuatir anaknya tidak dapat menanggung kesan sampingan seperti yang dialaminya selepas mendapat dos kedua vaksin bulan lepas.
Menerusi PICKids, dianggarkan 4 juta kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan layak menerima vaksin dan vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (Pfizer-BioNTech) akan digunakan.
Terdapat tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kids (PPVKids) boleh dipilih ibu bapa semasa menempah slot janji temu vaksinasi anak mereka di MySejahtera iaitu PPV di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) Shah Alam, Selangor, bermula hari ini.
Selain itu, terdapat 24 lagi PPVKids di sekitar Lembah Klang boleh dipilih untuk vaksinasi kanak-kanak bermula 5 Februari dan senarai PPV tersebut boleh disemak di laman web rasmi atau laman media sosial Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). - Bernama