SHAH ALAM - Pengasas Bersama Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM), Sheikh Faleigh Sheikh Mansor berpandangan bahawa sikap ego, nafsu dan tamak antara punca utama berlakunya rasuah di negara ini.
Ujar beliau, sikap negatif berkenaan menjadi pendorong kepada masyarakat sehingga menimbulkan ketaksuban dan sanggup membuat apa sahaja demi mencapai keinginan mereka termasuk menerima rasuah.
"Masyarakat secara umumnya sekarang sering menunjuk-nunjuk keegoan dan kemewahan mereka di sosial media.
"Ini menimbulkan rasa iri hati seseorang sehingga tidak boleh mengawal sifat tamak dan nafsu mereka.
"Mereka ini akan buat apa sahaja untuk mendapatkan kemewahan itu walaupun luar dari kemampuan mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sheikh Faleigh berkata, gejala rasuah yang berlaku di negara ini menyebabkan ketidakstabilan dari segi ekonomi serta tanggungjawab sosial.
Menurutnya, kerajaan terutamanya badan penguat kuasa perlu lebih tegas dalam hal tersebut termasuk menangkap semua ‘jerung besar’ dalam kegiatan rasuah tanpa mengira pangkat dan status mereka.
"Ketidakstabilan politik dan ekonomi disebabkan rasuah telahpun menjejaskan imej negara ini sekian lama.
"Nilai moral kebanyakan masyarakat pun teruk disebabkan ‘mindset’ mengambil rasuah adalah perkara biasa dalam menjalankan kerja harian,” ujarnya.