KONSERT Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 diri terakhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu merakamkan kenangan yang cukup istimewa buat penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Manakan tidak, lokasi yang menjadi saksi konsert pertamanya sebagai penyanyi, kembali dijejaki selepas 20 tahun sambil disaksikan lebih 10,000 penonton yang mengisi segenap ruang stadium sebagai tanda sokongan.
Mengakui terharu dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat, Siti ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya ketika tampil di pentas pada segmen pembukaan.
"Saya sebenarnya sangat tersentuh dan menangis sebelum naik ke pentas kerana melihat sambutan yang begitu hebat dari peminat. Terima kasih kerana anda memilih untuk berada di Konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 ini.
"Rasa dejavu apabila kembali mengadakan konsert di sini ia merupakan lokasi di mana saya pernah mengadakan konsert pertama saya pada tahun 1999 ketika berusia 19 tahun.
"Kini selepas 20 tahun, saya kembali mengadakan konsert untuk menghiburkan peminat di lokasi yang sama. Biarpun namanya kini telah ditukar kepada Stadium Axiata Bukit Jalil, apa yang penting saya adalah orang yang sama yang membuat persembahan di pentas ini,” luah Siti terharu.
Menurut Siti, pada konsert terdahulu dia telah melakukan pelbagai aksi persembahan untuk menghiburkan para peminatnya termasuk bermain alat muzik, kawad senyap, ahli silap mata dan sebagainya.
Justeru kali ini penyanyi yang sudah tampil dengan 250 buah lagu menerusi 25 buah album ini mahu tampil dengan persembahan terbaik sekaligus merakamkan detik indah dengan peminat dan mereka yang banyak menyokong kerjaya seninya sebelum ini.
Menerusi konsert terbitan Shiraz Projects ini, Siti yang menyanyikan lebih 30 buah lagu termasuk rangkaian medley pilihan, turut mengadakan segmen khas yang didekasikan kepada insan-insan yang disifatkan banyak berjaya dalam perjalanan seninya iaitu Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan Datuk Adnan Abu Hassan.
Tidak hanya itu, Siti yang tampil anggun menerusi persalinan dari Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat dan Fizi Woo ini juga berkongsi penghargaan istimewa buat suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang sentiasa merestui kerjaya seninya sehingga ke hari ini.
Segmen tersebut ternyata mengundang emosi penonton apabila Siti turut berkongsi klip istimewa ketika dia menjaga suami yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand beberapa tahun lalu sambil mengalunkan lagu Jaga Dia Untukku yang sememangnya ditujukan khas buat suami.
Antara lagu-lagu lain yang dinyanyikan Siti termasuklah rangkaian lagu-lagu irama Malaysia yang terdiri daripada Badarsila, Nirmala, Balqis, Hati Kama, Cindai dan diikuti Jerat percintaan, Wajah Kekasih, Biarlah Rahsia, Demi Kasih Sayang, Purnama Merindu dan Aku Cinta Padamu dan lain lain.
Tidak ketinggalan lagu terbaharunya, Comel Pipi Merah dan Anta Permana selain duet bersama penyanyi jemputan dari Indonesia Tulus menerusi lagu Seindah Biasa. Tulis juga meneruskan persembahan dengan dua buah lagu, Sewindu dan Jangan Cintai Aku Apa Adanya.
Sementara itu, Yura Yunita dan Natasha Sass pula menjadi artis jemputan yang membuat persembahan pembukaan konsert berdurasi dua jam ini.
Siri terakhir Konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 ternyata mencipta kenangan terindah buat para peminat penyanyi popular ini yang rata-ratanya berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan penyanyi kesayangan ramai ini.