Sindiket arak tidak bercukai tumpas

Iklan
Dua lelaki warga tempatan yang ditahan ketika sedang memunggah arak tidak bercukai dalam serbuan di Taman Komersial Senai pada Rabu.

KULAI - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas sejumlah arak disyaki tidak bercukai bernilai kira-kira RM11,728 dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Komersial Senai di sini pada Rabu.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, dalam operasi kira-kira jam 11.30 pagi itu, tiga lelaki termasuk seorang warga asing berusia lingkungan 36 hingga 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki warga tempatan itu dipercayai menjalankan kegiatan penjualan arak tidak bercukai dengan menjadikan premis berkenaan sebagai tempat simpanan sementara.

"Dua lelaki itu ditahan ketika sedang memunggah arak dari sebuah kereta jenis Proton Saga ke dalam premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dalam premis berkenaan, polis menemui 28 karton dan tujuh kotak mengandungi arak dianggarkan bernilai RM11,728 dengan cukai dilarikan sebanyak RM27,199.

Iklan
Iklan

"Seorang warga asing yang mengaku sebagai penjaga premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dimin berkata, kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

"Polis percaya tangkapan dan rampasan ini turut berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran arak tidak bercukai di sekitar Kulai dan Johor Bahru.

Iklan
Iklan

"Polis menerusi PGA Simpang Renggam akan menjalankan tugas bagi mengawal keselamatan negara. Kita juga menyeru kepada orang awam sekiranya mempunyai maklumat untuk berkongsi kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban,” katanya.