PENGENDALI Senegal, Aliou Cissé menghadiahkan kejayaan The Lions of Teranga apabila mara ke pentas perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika kepada para penyokong pasukan sensasi dari benua Afrika tersebut.
Malah menurut Cisse, disiplin tinggi dalam kalangan pemain Senegal, selain tidak berputus asa banyak membantu pasukan itu melakar kemenangan.
"Kemenangan ke atas Burkina Faso dihadiahkan kepada para penyokong terutamanya rakyat Senegal yang memberikan sokongan padu sejak dari permulaan kempen lagi.
"Sejujurnya, kami amat berpuas hati dengan kemenangan ini biarpun terpaksa berdepan saingan sengit pasukan lawan.
"Matlamat akhir kami di kejuaraan berprestij benua Afrika ini adalah untuk membawa pulang trofi keramat ini ke Senegal setelah para pemain melalui fasa getir mengharungi kejohanan ini," katanya.
Senegal mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika selepas menewaskan Burkina Faso 3-1 dalam aksi di Stadium Ahmadou Ahidjo, Yaounde, Cameroon.
Bagaimanapun The Lions of Teranga kendalian Cissé terpaksa menunggu babak kedua sebelum dapat merobek gawang The Stallions pimpinan pengendali sensasi Kamou Malo.
Tonggak pertahanan Paris St Germain (PSG), Abdou Diallo membuka jaringan buat Senegal pada minit ke-70, sebelum Idrissa Gueye melebarkan jaringan pada minit ke-76 hasil bantuan gol pemain Liverpool, Sadio Mane.
Burkina Faso yang tidak mengalah kembali menghidupkan peluang menerusi jaringan Blati Toure pada minit ke-82, sebelum Mane menutup pintu laluan ke perlawanan akhir lawan dengan gol minit ke-87.
Anak buah Cissé sebelum itu berpeluang mendahului lawan pada babak pertama, namun dua penalti diperoleh dinafikan setelah pegawai perlawanan melakukan semakan semula menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Sementara itu, Mane mengakui bukan laluan mudah untuk The Lions of Teranga melepasi setiap pesaing sehingga mara ke perlawanan akhir kerana setiap lawan tidak boleh di pandang remeh.
"Kami tahu ia sama sekali tidak mudah untuk mara ke perlawanan akhir secara berturut-turut kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika berturut-turut berdasarkan situasi semasa dunia pada ketika ini.
"Apa pun dalam konteks kami sebagai pasukan yang menggalas tanggungjawab membawa nama negara, paling penting sekarang adalah untuk menyertai sebarang kejuaraan kemudian memenanginya, biarpun siapa lawan anda...," kata Mane.
Untuk rekod, Senegal merupakan finalis edisi Mesir 2019, selepas tewas 0-1 kepada Algeria pada perlawanan akhir hasil jaringan Baghdad Bounedjah dalam perlawanan akhir di Kaherah.