Pembekal, peruncit minyak masak didenda RM30,000

Iklan
Zaini (kanan) yang mewakili Lesong Food Industries Sdn Bhd didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Khamis atas kesalahan menjual minyak masak melebihi had kuantiti dibenarkan.

MELAKA - Sebuah syarikat pembekal minyak masak serta peruncit didenda masing-masing RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas kesalahan menjual minyak masak melebihi had kuantiti dibenarkan serta menyimpan barangan kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Syarikat pembekal, Lesong Food Industries Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Datuk Dr Zaini Taha manakala peruncit yang juga pemilik Syarikat Era Prestij Resources, Samchah Abdullah, 51, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didakwa menjual 140 unit minyak masak 5 kilogram (kg) jenama Lesong dengan jumlah 1,200kg kepada Syarikat Era Prestij Resources melebihi had kuantiti lesen syarikat itu.

Perbuatan itu dilakukan di premis Era Prestij Resources, Melaka Halal Hub Serkam Fasa 2, Merlimau kira-kira jam 3.30 petang, pada 4 Oktober 2021.

Iklan

Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta maksimum bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Samchah didakwa menyimpan barangan kawalan di tempat yang tidak dilesenkan iaitu 140 unit minyak masak jenama Lesong, 216 unit gula pasir jenama CSR, 30 unit tepung gandum jenama Cempaka dan 60 unit tepung gandum jenama Ros pada masa dan tempat yang sama.

Samchah (kiri) turut didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Khamis atas kesalahan menyimpan barangan kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Iklan

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman sehingga RM1juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan denda sehingga RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan seterusnya.

Hakim Nariman pada prosiding yang dijalankan secara berasingan kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 kepada setiap tertuduh serta enam bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Syazwani Zawawi manakala mereka tidak diwakili peguam.