ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) sedang mengadakan perbincangan bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk memberikan ruang kepada parti tersebut menyertai PIlihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, PH yang merupakan gabungan Amanah, PKR dan DAP terbuka berbincang dengan mana-mana parti untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya di negeri tersebut.
Menurutnya, perbincangan dengan parti lain masih boleh diadakan walaupun pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PH bagi menghadapi PRN Johor sudah pun dibuat.
"Kita terbuka untuk berbincang, setakat ini dengan parti-parti lain belum ada tetapi dengan Muda kita ada berbincang (bekerjasama menghadapi PRN Johor)," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Program Bertemu Mata Bertanya Khabar Petani di Kampung Atas Kota, Sungai Mati, Langgar dekat sini.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, persiapan jentera Amanah melalui agihan tugas kepada negeri-negeri lain untuk membantu PRN Johor juga sudah selesai.
Ditanya tentang keputusan PKR menggunakan logo sendiri, Mahfuz berkata perkara tersebut tidak menjadi masalah dan dipersetujui oleh semua parti komponen dalam PH.
"(Keputusan PKR) guna bendera PKR tidak ada masalah kerana memang keputusan PH. Ada kepentingan dan keperluan tertentu.
"Ini bukan perkara baharu kerana di (PRN) Sarawak kita berbeza lambang, di (PRN) Sabah juga menggunakan lambang masing-masing," ujarnya.
Pada 29 Januari lalu, media melaporkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan parti itu akan bertanding pada PRN Johor.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, PRN Johor menjadi negeri pertama buat parti tersebut bertanding dalam pilihan raya.