PRN Johor: Kemenangan BN ditentukan pengundi pelbagai kaum

Iklan
Mohamed Khaled Nordin

SHAH ALAM - Sokongan masyarakat pelbagai kaum bakal menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, keutamaan perlu diberikan terhadap usaha meraih sokongan masyarakat majmuk di negeri tersebut melalui rakan komponen dalam gabungan BN.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, rakan UMNO di dalam BN itu juga perlu memahami bahawa kemenangan mereka tidak lagi boleh disandarkan hanya kepada UMNO semata-mata.

"Mereka mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai kerajaan. Meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting. Ada dua sebab kenapa ia sangat penting," katanya.

Iklan

"Pertama, kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif.

"Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok. Kedua, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, parti komponen di dalam BN tidak seharusnya mempunyai perwakilan ‘sipi-sipi’ dalam kerajaan dan pentadbiran negara.

Jelas beliau, sudah tiba masanya untuk mereka menjadi sebahagian daripad kerajaan dan menguruskan negeri serta negara secara bersama dengan UMNO yang juga merupakan parti terbesar orang Melayu.

Mengulas mengenai kerjasama UMNO dan Pas, Mohamed Khaled berkata, partinya tidak akan mendapat sebarang faedah sekiranya terus melayan karenah rakan utamanya di dalam Muafakat Nasional itu.

"Hanya Pas yang tidak tahu apa yang ia kehendaki. Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka dibuang sayang, ditelan pahit,” ujarnya.